Graduan sebak kenang ibu terlantar ketika terima ijazah

Teknologi

SHAH ALAM: “Ini semua untuk umi,” demikian luahan seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengenang ibunya terlantar tidak dapat hadir meraikan kejayaannya menggenggam segulung ijazah pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Badrul Mohd. Hamzah, dia menerima Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif pada Ahad lalu dan berasa terharu melihat rakan-rakan lain bersama dengan kedua ibu bapa masing-masing, namun tidak baginya.

Sebaliknya, dia hanya mengenang nasib ibunya yang tidak dapat bergerak akibat menderita Sklerosis Berbilang, iaitu penyakit autoimun kronik yang menyerang otak dan saraf tunjang, menyebabkan kerosakan dan gangguan pada komunikasi antara otak dan bahagian tubuh yang lain.

“Pedihnya terasa sebab saya mengharapkan umi boleh rasa sendiri kejayaan itu. Tetapi dia tak mampu, dan mungkin umi pun tak tahu saya ni konvo peringkat ijazah sarjana muda. Saya faham.

“Tetapi lagi pedih umi yang menanggung sakit itu, saya hadiahkan kejayaan ini untuk umi. Dia yang berjasa, banyak berkorban memberi sokongan terhadap pendidikan saya sehingga mampu sampai ke menara gading,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Badrul, 25, memberitahu pada hari konvokesyennya berlangsung, dia ada menghasilkan video yang dimuat naik ke dalam aplikasi TikTok untuk berkongsikan detik-detik indah dia menaiki pentas menerima skrol.

“Video terbaharu saya adalah tentang umi yang sakit dan tak mampu datang ke konvokesyen saya. Saya tidak tahu hendak menceritakannya kepada siapa, perasaan bila naik ke pentas, terima ijazah sambil disaksikan kawan-kawan.

“Ketika itu rasa sangat sebak bila terkenang keadaan umi. Sebab itu nekad saya katakan, usaha dan kejayaan ini adalah untuk umi. Itu detik yang menjatuhkan air mata saya kerana saya tak mampu bawa ‘ratu syurga’ bersama-sama di sini,” luah Badrul.

Kata anak kedua daripada empat beradik itu lagi, bagaimanapun dia bersyukur menghargai rakannya Nik Lutfi Hadi Syahmi Nik Mahadi yang bergraduasi bersamanya kerana sentiasa bersama dan menyokong usahanya sepanjang pengajian.

“Tanpa sokongan yang diberikan, mungkin beliau tidak mampu untuk sampai ke tahap ini dan lemahlah saya untuk mengharungi rintangan semuanya sendiri,” ujarnnya. – UTUSAN