BBEA julang Creative Creed Associates

Perniagaan

SHAH ALAM: Anugerah Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) menjadi pemangkin kepada syarikat pengurusan acara, Creative Creed Associates meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Menurut pengarah urusannya, Syaiful Bakhtiar Salim, pengiktirafan tersebut merupakan motivasi kepada pasukannya untuk berada pada kedudukan sebaris dengan syarikat lain di negara ini.

“Saya mempunyai impian dan aspirasi untuk menjadikan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan acara terkemuka di negara ini. Malah mungkin mampu menyaingi syarikat antarabangsa.

“Alhamdulillah, walaupun mempunyai pelbagai ranjau dan duri, kami mampu mencapai ke tahap ini hasil daripada kerja kuat setiap warga syarikat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili syarikatnya menerima menerima anugerah bagi kategori perniagaan pengurusan acara yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mengulas lanjut visi dan perancangan syarikat, Syaiful berkata dia kini sedang merangka untuk memasuki pasaran negara Asia Barat.

“Umum mengetahui bahawa negara-negara di Asia Barat sedang giat mempromosikan produk pelancongan mereka dan menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa untuk menarik pelancong ke sana.

“Dengan itu, kami tidak mahu melepaskan peluang memasuki pasaran di sana dan saya yakin kami mampu melakukan yang terbaik, sekali gus memastikan aspirasi ini dapat dicapai,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tidak ramai golongan bumiputera menyertai perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan ia lebih membakar semangatnya untuk terus berjaya dalam bisnes tersebut.

Dalam masa sama, dia juga menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan serta syarikat swasta yang memberi kepercayaan dengan perkhidmatan mereka selama ini. – UTUSAN