MBI Selangor terima pengiktirafan antarabangsa

Perniagaan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menerima Anugerah Kelestarian Forward Faster Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jaringan Impak Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) 2024 di bawah kategori ‘Partnership for the Goals’.

Anugerah yang diperkenalkan oleh UNGCMYB itu adalah bagi mengiktiraf usaha serta dedikasi MBI Selangor yang teguh terhadap pembangunan mampan yang dicapai melalui kerjasama berimpak tinggi, selaras dengan ‘UN Sustainable Development Goals’ (UNSDGs).

Menurut MBI Selangor, pengiktirafan di bawah kategori tersebut memfokuskan kepada objektif Sabak Bernam Development Area (SABDA) dalam memperkasa komuniti tempatan dan membangunkan ekosistem mampan di Sabak Bernam, sejajar dengan matlamat serta hasil yang dirancang dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1).

“SABDA merupakan inisiatif yang menggalakkan kemakmuran ekonomi di samping mengekalkan keseimbangan antara kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

“Fokus utama SABDA adalah termasuk memastikan pengeluaran makanan laut yang mampan, memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan sektor pertanian, serta mempromosikan agro-pelancongan dan eko-pelancongan di kawasan tersebut,” katanya, hari ini.

Anugerah tersebut diterima Ketua Divisyen Strategik Kumpulan MBI Selangor, Muhammad Hudhaifa Ahmad pada Majlis UNGCMYB Sustainability Celebration Night 2024 yang berlangsung, semalam.

Mengulas lanjut, MBI Selangor menjelaskan, kategori ‘Partnership for the Goals’ yang diterima pihaknya, adalah untuk menghargai organisasi yang cemerlang dalam membentuk kerjasama yang menghasilkan perubahan yang bermakna dan lestari.

Katanya lagi, MBI Selangor berbangga kerana diiktiraf atas inisiatif kelestariannya yang berimpak tinggi, menyumbang kepada kemajuan dalam aspek manusia, alam sekitar, dan kemakmuran.

“MBI Selangor serta syarikat milikannya telah menjadi pendukung utama kepada UNSDGs dengan menyelaraskan standard dan garis panduan kelestarian global, mempromosikan inisiatif hijau, dan melaksanakan projek penglibatan komuniti.

“Bagi memperkukuh usaha penglibatan komuniti, MBI Selangor menganjurkan Karnival Ban Canal, yang sedang berlangsung sehingga 1 Disember ini,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, MBI Selangor turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UNGCMYB yang memfokuskan kepada inisiatif utama seperti membangunkan pendidikan eksekutif dan profesional untuk menangani cabaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan ‘Environmental, Social and Governance’ (ESG) serta meningkatkan keupayaan MBI Selangor serta syarikat milikannya.

Kedua-dua pihak juga bersedia meneroka peluang lebih luas untuk menyokong komitmen bersama terhadap kelestarian di rantau ini.

Melalui kerjasama ini, MBI Selangor yakin bahawa ia akan memperkukuh usaha
kelestariannya, sejajar dengan agenda pembangunan kelestarian negeri Selangor ke arah negeri pintar, berdaya huni dan makmur. – UTUSAN