Armada umum saf pimpinan baharu

Politik

SHAH ALAM: Armada Parti Bersatu mengumumkan pembentukan saf kepimpinan baharu berkuat kuasa serta merta hari ini.

Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, pelantikan ahli Jawatankuasa dan pegawai itu dilakukan selaras mengikut Perkara 6 Peraturan Armada Bersatu yang akan meliputi hampir kesemua wakil rakyat yang mewakili parti tersebut.

“Ia melibatkan jawatan Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan selain lima Ahli Jawatankuasa Armada, Ex-Officio serta Ketua Biro.

“Individu itu antaranya Mohd. Fahim Mohd. Farid (Wilayah Persekutuan), Nor Zahid Rahim (Sabah), Harris Idaham Rashid (Pulau Pinang). Pelantikan itu berkuatkuasa serta merta,” katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap Bersatu, hari ini.

Menurut Hilman, beliau menzahirkan penghargaan kepada parti itu yang memberi mandat kepada dirinya dan kepimpinan baharu itu.

“Saya berikrar cekal setia bersama ketumbukan Armada dan bersiap siaga mengabdikan diri dalam perjuangan Bersatu.

“Pelantikan saf ini diharap merealisasikan matlamat utama kami untuk membina sebuah pasukan dinamik dan progresif,” ujarnya.

Tambah beliau, perhimpunan agung itu disifatkan wadah utama dalam memperkukuhkan kesatuan kepimpinan dan akar umbi sekali gus menjana perubahan substantif kepada rakyat.

“Menuju kemenangan dalam pilihan raya akan datang, Armada perlu bergerak sebagai satu pasukan yang utuh dan efektif.

“Kita perlu bersiap siaga dengan struktur organisasi mantap dan pergerakan yang kemas dan tersusun,” ujarnya. – UTUSAN