Bank Islam untung bersih RM396.8 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM396.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2023. 

Menurut kenyataannya, keuntungan ini dipacu oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan pengurangan peruntukan bersih rosot nilai ke atas pembiayaan.

Katanya, sebahagian besar daripada pertumbuhan pendapatan bersih kumpulan telah dipacu oleh kenaikan 4.9 peratus pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat kepada RM1.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan pelaburan sekuriti dan pembiayaan tahun ke tahun.

“Oleh itu, margin pendapatan bersih (NIM) meningkat kepada 2.15 peratus bagi tempoh tersebut berbanding 2.11 peratus pada tempoh sama 2023. 

“Selain itu, kumpulan merekodkan pertumbuhan fi dan komisen sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun bagi tempoh penilaian. 

“Walau bagaimanapun, jumlah pendapatan bukan berasaskan dana menyusut 12.4 peratus tahun ke tahun, disebabkan oleh penurunan perolehan bersih daripada transaksi tukaran mata wang asing dan pendapatan pelaburan yang rendah,” katanya.

Tambahnya, jumlah aset kumpulan berada pada kedudukan RM98.3 bilion pada akhir September 2024, pengukuhan 6.5 peratus tahun ke tahun yang didorong oleh pertumbuhan pelaburan sekuriti dan pembiayaan, menjadikan aset bersih sesaham lebih tinggi pada RM3.43.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, sektor perkhidmatan kewangan sedang berkembang maju, didorong oleh keperluan pelanggan dan perkembangan teknologi. 

Mengambil kira perbelanjaannya, beliau berkata, pelaburan dalam teknologi perlu untuk memastikan bank seiring dengan trend industri dan mencapai penanda aras baharu perbankan Islam.

“Hasil utama inisiatif ini termasuk suai tugas digital yang mudah dan ciri-ciri perbankan dipertingkat melalui aplikasi mudah alih BIMB Mobile dan platform perbankan Internet BIMB Web yang baru dilancarkan. 

“Penambahbaikan ini mengambil kira maklum balas pelanggan berkaitan penggunaan, mementingkan kemudahan, akses dan keterangkuman. 

“Tumpuan strategik kepada teknologi ini melambangkan komitmen kami untuk kekal kompetitif dan memupuk kerjasama jangka panjang dengan pemegang taruh,” ujarnya.-UTUSAN