MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan anak-anak buahnya tidak boleh memberikan sebarang alasan jika gagal mencatat kemenangan ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam ini.
Biarpun hanya menikmati masa rehat yang singkat selepas kemenangan 3-2 ke atas Bodo/Glimt dalam saingan Liga Europa, kelmarin, Amorim berkata jadual padat bukan sebab untuk mereka tidak bersedia.
“Ini adalah realiti. Kami akan melakukan penggiliran dan bersedia. Pada perlawanan menentang Bodo/Glimt, kami menggunakan empat pemain gantian untuk memastikan pemain sentiasa cergas.
“Kami sudah tahu ini akan berlaku, jadi tiada alasan. Kami harus bersedia untuk perlawanan seterusnya (hari ini) dan kami harus menang,” kata Amorim.
United ketika ini berada di tangga ke-12 EPL selepas seri 1-1 menentang Ipswich Town pada tugasan sulung Amorim, minggu lalu.
Bagaimanapun, Amorim menjangkakan perlawanan sengit dengan corak permainan berbeza dipersembahkan oleh Everton.
“Saya harap untuk menang. Ianya akan menjadi perlawanan dengan aksi fizikal, hantaran jauh dan perebutan bola kedua.
“Everton mempunyai jurulatih yang memahami liga dan situasi lawan. Kami perlu menguasai bola kerana masa pemulihan kami pendek dan pasukan perlu digilirkan. Saya mahu melihat peningkatan,” ujarnya.
Everton yang di bawah bimbingan Sean Dyche berada di tangga ke-15 dengan hanya dua mata di atas zon penyingkiran. – AGENSI