Kubur suami isteri digali semula kerana perbezaan politik

Politik

JAKARTA – Dua kubur pasangan suami isteri di wilayah Sulawesi Selatan digali semula dan dipindahkan ke lokasi lain kerana didakwa disebabkan perbezaan fahaman politik, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Ia dipercayai berpunca daripada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) Bulukumba 2024.

Dua kubur itu menempatkan jenazah Mattayang Daeng Lengu yang meninggal dunia pada 27 Julai 2023 dan isterinya, Nurlia, yang dikebumikan pada 13 Mac 2022.

Perbezaan politik itu melibatkan anak mereka, Nurmi dengan pemilik kawasan perkuburan tersebut.

Menurut Nurmi, kubur ibu bapanya digali untuk dipindahkan kerana pemilik kawasan perkuburan tersebut menyokong calon yang berbeza dengan pilihan keluarganya.

Dua kubur itu dipindahkan ke kawasan perkuburan Kampung Manjalling.

Pemerintah kampung tersebut memberi kelulusan untuk memindahkan kubur-kubur tersebut agar perbalahan tidak berlarutan. 

Dalam pada itu, pemilik kawasan perkuburan itu, Azhar, menafikan bahawa perpindahan itu mempunyai kaitan dengan perbalahan politik.

Sebaliknya menurutnya, ia disebabkan salah faham.

“Atas nama peribadi dan keluarga, saya memohon maaf kepada seluruh masyarakat,” katanya. – AGENSI.