KL City FC mara ke suku akhir Piala Malaysia

Sukan

PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Miroslav Kuljanac yang tewas 2-3 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, 22 November lalu bangkit menyingkirkan KDA FC dengan agregat 6-4.

Dalam aksi tersebut, KL City FC tidak menunggu lama untuk menembusi gawang lawan hasil jaringan kapten, Paulo Josue pada minit ke-15 menerusi sepakan bila mati.

Selang tiga minit kemudian, tuan rumah mengukuhkan kedudukan hasil jaringan Jovan Motika sebelum Ryan Lambert melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, KDA FC hampir menjaringkan gol bagaimanapun rembatan Jose Cleylton pada minit ke-50 dinafikan penjaga gol KL City FC, Azri Ab Ghani.

Gol saguhati pasukan pelawat diperolehi hasil jaringan Milos Gordic pada minit ke-74.

KL City FC memperoleh gol keempat selepas pemain gantian, Zhafri Yahya mudah menewaskan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim pada masa tambahan.

Menanti KL City FC di suku akhir kejohanan adalah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan aksi pertama dijadual pada 13 Disember di laman sendiri sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Disember. – UTUSAN