PETALING JAYA: Sri Pahang berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan
Selangor FC dengan agregat 3-2 pada aksi peringkat 16 terbaik Piala Malaysia 2024.
Kemaraan itu disahkan selepas Tok Gajah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Gergasi Merah pada perlawanan kedua peringkat itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh Hidalgo yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25.
Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah kembali mengatur gerakan untuk mencari gol penyamaan namun gagal menembusi gawang Sri Pahang sekali gus kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor meningkatkan intensiti permainan dan akhirnya gol penyamaan dicari berjaya diperolehi pada minit ke-77 hasil ledakan Safuwan Baharudin.
Bagaimanapun, tujuh minit kemudian Sri Pahang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan kali ini giliran Sergio Aguero pula menyempurnakan peluang itu untuk kembali meletakkan pelawat mendahului di hadapan 7,065 penyokong kedua-dua pasukan yang hadir ke stadium.
Selangor hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan namun tindakan cemerlang penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin menafikan percubaan lemah Ali Olwan memastikan pasukannya mara ke suku akhir.
Terdahulu, aksi pertama peringkat 16 Piala Malaysia di Stadium Temerloh, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 23 November lalu.
Pada aksi suku akhir nanti, Sri Pahang terlebih dahulu berkunjung ke laman Perak FC pada 13 Disember sebelum menjadi tuan rumah pada 21 Disember.-UTUSAN