261 calon SPM terjejas banjir dihantar ke pusat peperiksaan

Pendidikan

KUALA TERENGGANU: Proses penghantaran 261 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Terengganu ke pusat peperiksaan alternatif berjalan lancar pagi ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, semua perancangan rapi telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Op Payung untuk memastikan keselesaan calon SPM.

Katanya, beliau juga telah meninjau proses penghantaran 16 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting ke pusat peperiksaan alternatif awal pagi ini.

“Alhamdulillah, semuanya nampak ceria dan semangat untuk menghadiri ujian pertuturan Bahasa Melayu yang diadakan di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin.

“Cuaca juga agak baik dan saya dimaklumkan proses penghantaran semua calon SPM ke pusat peperiksaan alternatif berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Terima kasih jabatan ucapkan kepada semua pihak terutama Majlis Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta Pejabat Pendidikan Daerah yang menyelia urusan pengangkutan pagi ini,” katanya hari ini.

Di Terengganu, seramai 1,734 calon SPM dari 20 buah sekolah di enam daerah dikenal pasti terjejas akibat bencana itu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,155 calon telah pun berada di lapan asrama yang dikenal pasti selamat dari ancaman banjir.

Menurut Jelani, 261 calon SPM pula berada di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran rumah mereka dan baki calon yang lain pula berada di rumah masing-masing. 

Daripada 20 sekolah terjejas itu, sebanyak lima terletak di daerah Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Sains Hulu Terengganu (SAHUT), SMK Menerong dan SMK Kuala Jenderis.

Lima lagi sekolah ialah di daerah Besut iaitu SMK Bukit Payong, SMK Putra, SMK Seri Bukit Puteri, SMK Tembila dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq.

Di Setiu pula, tujuh sekolah yang terjejas ialah SMK Sungai Tong, SMK Tengku Ibrahim, SMK Langkap, SMK Putera Jaya, SMK Guntong, SMK Chalok dan SMK Saujana.

Selain itu tiga lagi sekolah ialah SMK Ayer Putih di Kemaman, SMK Kuala Jengal di Dungun dan SMK Padang Kemunting di Kuala Nerus. – UTUSAN