Keserasian jenama Mr Chicck aktif kuasai pasaran

Perniagaan

KUALA LUMPUR- Menyedari betapa pentingnya peranan penjenamaan semula perniagaan agar ia setara dengan produk yang ditawarkan, seorang usahawan telah nekad melabur dengan sejumlah wang yang besar untuk mengubah jenama terbaharu bagi produk keluarannya.

Pengasas jenama Mr Chicck, Mohd. Amirul Amin Abd Wahab berkata, inisiatif itu penting dilaksanakan agar produk keluaran syarikat terus mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi daripada para pelanggannya.

Sebelum ini, perniagaan milik usahawan berusia 37 tahun ini memperkenalkan Cafe Café Besye-besye bermula bulan November tahun 2019 dengan, bermodalkan simpanan sendiri dan juga pembiayaan lari daripada rakan baiknya.

Bagaimanapun perniagaan yang dibangunkan oleh anak kelahiran Kedah itu terpaksa berdepan dengan cabaran hebat dalam perniagaannya apabila negara di landa pandemik yang menjejaskan banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana pada tahun 2020.

Perniagaannya hanya bertahan selama tiga bulan pada tahun wabak itu bermaharajalela dan akhirnya café Besye-besye terpaksa dihentikan operasi disebabkan jualan yang menurun.

“Sepanjang menghentikan operasi, saya mula berfikir alternatif dan idea-idea baharu untuk membangunkan semula perniagaan dengan lebih maju.

“Dari situ, saya berfikir untuk menukar jenama yang saya bawa ini kepada jenama yang baharu dan lebih menarik.

“Untuk menukar jenama ini juga bukanlah suatu perkara yang mudah, di mana saya mengambil masa selama dua bulan untuk mengkaji semula produk-produk yang ditawarkan dalam perniagaan lama dan nama Mr Chicck ini diambil bersempena dengan menu burger crispy yang banyak mendapat sambutan orang ramai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Lebih menarik, Amirul Amin berkata, pihaknya turut mengadakan pertandingan untuk membina logo jenamanya di media sosial dengan menawarkan hadiah bernilai RM500 untuk pemenang yang berjaya mencipta logo Mr Chicck dengan menarik.

Tambah beliau, setelah berjaya menjenamakan semula perniagannya, beliau mula mencari rakan niaga dengan membayar seorang pempengaruh untuk berkongsi video berkaitan jenamanya.

“Alhamdulillah setelah bekerjasama dengan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai ‘Sang Pencerita’, permintaan terhadap Mr Chicck ini semakin meningkat.

“Selain itu, kami juga berjaya mencapai lebih kurang 60 gerai sepanjang beroperasi dengan jenama baharu ini bermula 2021 hingga 2022,” jelasnya.

Namun begitu, Amirul Amin berkata, untuk menjaga dan menyelia 60 gerai daripada rakan niaga itu bukanlah hal yang mudah.

Ujarnya, pada tahun 2022, hampir separuh daripada 60 gerai tersebut terpaksa ditamatkan kontrak disebabkan komitmen mereka yang tidak konsisten dalam menjaga jenama Mr Chicck, bahkan ada yang mengambil produk daripada jenama lain untuk meniaga.

Ekoran itu, beliau mula menetapkan kriteria tertentu untuk mereka yang ingin menjadi rakan niaga jenama ini bagi memastikan komitmen yang diberikan adalah konsisten.

Katanya, sehingga kini, mereka mempunyai 10 gerai daripada rakan niaga di mana enam daripadanya terletak di Lembah Klang dan empat lagi gerai terletak di Slim River, Perak, Raub Pahang, Teluk Intan dan Kemaman, Terengganu.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada pihak Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang banyak membantu dalam menawarkan program-program yang memberikan ilmu-ilmu berkesan terutamanya dalam urusan francais.

“Saya menyertai program Pernas yang berkaitan dengan francais pada tahun 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) melalui cadangan daripada rakan baik.

“Setelah itu, beberapa ahli daripada Pernas datang melawat gerai, dan seminggu selepas itu, kami menerima surat tawaran untuk menjadi usahawan di bawah agensi ini melalui Program Business in Transformation (BIT),” ujarnya.

Usahawan muda ini turut bercita-bercita untuk membawa jenamanya ke seluruh Malaysia dan juga luar negara terutamanya negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Ujarnya, sehingga kini, jenamanya telah menghasilkan dua produk iaitu Crispy Chicken Burger dan Gourmet Beef Patty.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi produk baharu mereka iaitu Ayam Goreng Mr Chicck yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

“Saya juga bakal mengeluarkan lebih banyak produk-produk sejuk beku untuk jenama ini seperti nugget, kentang dan juga burger segera seperti yang dijual di Seven-elevan Thailand,” jelasnya.

Tak hanya itu, Amirul Amin juga mula memohon sijil halal bagi jenamanya untuk mengembangkan lagi perniagaan dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan. -KOSMO! ONLINE