Tidak perlu tangguh peperiksaan SPM

Pendidikan

BESUT: Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai mekanisme terbaik menangani isu banjir tanpa perlu melaksanakan penangguhan peperiksaan awam. 

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, ia termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). 

Kata beliau, jadual peperiksaan yang ditetapkan sebelum ini telah mengambil kira semua aspek termasuk kebarangkalian berlakunya bencana alam seperti banjir. 

“Jadual telah disusun sebaik-baiknya dengan mengambil kira pelbagai perkara, kalau kita buat penangguhan akan menjejaskan perkara lain termasuk kemasukan pelajar ke universiti.

“KPM juga yakin dapat menangani isu-isu banjir melibatkan peperiksaan ini melalui pelaksanaan Op Payung oleh semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah,” katanya dalam sidang akhbar ketika membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung, di sini hari ini. 

Menurut Azman, bagi memastikan pelajar yang terlibat dengan bencana dapat menghadiri peperiksaan, mereka ditempatkan di asrama sekolah sebagai langkah selamat. 

Beliau berkata, sekiranya terdapat pelajar yang terkandas banjir, KPM mahupun JPN dan pengurusan sekolah akan bekerjasama dengan agensi luar bagi membawa keluar pelajar tersebut dan di letakkan di asrama. 

“KPM turut melaksanakan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutama membabitkan calon peperiksaan SPM yang terkesan dengan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPM  mengenal pasti sebanyak 132 sekolah yang terkesan dengan banjir di seluruh negara termasuk Kelantan dan Terengganu. – UTUSAN