Keputusan untuk meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula 2 Disember 2024, mendapat pelbagai maklum balas dan cadangan daripada orang ramai.
Ada yang bersetuju Ujian Bertutur Bahasa Melayu diteruskan di saat beberapa negeri dilanda banjir yang teruk.
Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan tarikh ujian bertutur itu.
“Maaf, jika KPM prihatin dengan situasi bencana alam yang sedang melanda, cakna dengan keadaan calon-calon terlibat banjir, mohon ditangguhkanlah secara keseluruhan SPM 2024. Bertindaklah dengan tindakan yang wajar, simpati dan empati. Hanya anjak ke satu tarikh yang sesuai.”
“Kesian anak-anak yang jadi mangsa banjir. Moga ALLAH permudahkan urusan mereka.”
“Moga baik-baik saja untuk mereka yang terlibat dan dipermudah segala urusan.”
“Kalau tangguh peperiksaan, pasukan keselamatan dapat fokus kepada kerja-kerja menyelamat. Sekarang ini nyawa lagi utama.”
Foto: Arkib Sinar Bestari
Memetik perkongsian dalam Facebook KPM, mereka memaklumkan, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan, kesejahteraan dan kesiapsiagaan kementerian serta agensi berkaitan.
“Keputusan untuk meneruskan peperiksaan SPM diambil dengan mengambil kira pelan mitigasi dan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Ia juga perlu mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan situasi Monsul Timur Laut (MTL) yang mungkin berpanjangan sehingga Mac 2025,” ujar mereka.
Menurut KPM, penangguhan (peperiksaan SPM 2024) akan memberi implikasi lain seperti jadual peperiksaan yang lebih padat, keputusan keluar lewat dan menjejaskan proses permohonan melanjutkan pengajian.
Selain menjelaskan kenapa SPM perlu diteruskan, KPM turut menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan warga maya tentang peperiksaan berkenaan.
Antara soalan mereka adalah terdiri daripada:
1) Bila peperiksaan bermula dan berakhir?
Ujian Bertutur Bahasa Melayu (2 hingga 5 Disember)
Ujian Amali Sains (9 – 12 Disember)
Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 – 19 Disember)
Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember)
Peperiksaan Bertulis (2 Januari – 6 Februari 2025)
2) Adakah KPM bersedia melaksanakan peperiksaan SPM 2024 dalam situasi banjir?
KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.
KPM juga mempunyai pelan tindakan menghadapi MTL.
Pekeliling menghadapi MTL kepada warga KPM telah dikeluarkan pada 22 Oktober 2024.
Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL telah dilancarkan pada 28 Oktober 2024.
Latihan dan simulasi rentas kementerian dan agensi juga dilaksanakan.
3) Bagaimana KPM pastikan calon terjejas tidak tercicir?
Calon terjejas banjir sama ada telah atau sedang digerakkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif. Ini untuk memastikan mereka selesa membuat persiapan dan dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.
Calon terjejas juga boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dipertanggungjawabkan memastikan tiada calon yang tercicir.
Calon persendirian yang terjejas diminta untuk menghubungi pihak JPN bagi mendapatkan bantuan.
4) Apa yang KPM sediakan di asrama untuk calon terjejas?
Kemudahan asas yang lebih kondusif untuk calon terjejas membuat persiapan dan menjalani peperiksaan.
Keperluan tambahan disalurkan kepada semua asrama terlibat untuk penyediaan makanan dan keperluan lain.
Bahan pembelajaran termasuk buku dan akses makmal komputer untuk menggunakan pelantar DELIMa.
Alat tulis dan kelengkapan lain turut disediakan.
Calon boleh menggunakan pakaian yang bersesuaian.
Khidmat sokongan psikososial disediakan bagi memastikan kesejahteraan calon.