Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa 21 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram terhadapnya yang melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB adalah bermotifkan politik.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, tertuduh menyatakan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang juga pernah menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik, sepatutnya memahami situasi tersebut.
Najib juga berkata penyiasat SPRM semasa siasatan tidak mendedahkan butiran dakwaan tersebut, menyebabkan dia tidak dapat mempertahankan dirinya dengan sewajarnya.
“Saya percaya saya adalah orang yang paling layak untuk menyatakan sama ada saya telah diprejudiskan atau tidak. Secara peribadi, sebagai seorang tertuduh, saya benar-benar diprejudiskan oleh tindakan sengaja dan sedar oleh SPRM ini. Malah, sebagai bekas Perdana Menteri yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Negara ini, saya juga amat terkejut dengan fakta ini.
“Saya tidak sesekali percaya bahawa Perlembagaan Persekutuan membenarkan pendekatan di mana seorang warganegara dituduh terlebih dahulu, dinafikan kebebasan peribadinya, dan hanya diberi peluang untuk membela diri semasa perbicaraan melalui pemeriksaan balas.
“Ia seperti menutup mata lawan kamu dalam satu pertarungan dan mendakwa ia pertarungan yang adil kerana dia masih mampu melancarkan beberapa tumbukan.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kepada sesiapa pun. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang (Anwar) sepatutnya lebih peka mengenai perkara ini kerana beliau tahu betul bagaimana derita menjadi mangsa keadaan, dipukul sambil mata tertutup dan tangan bergari.
“Saya tidak akan terkejut jika ketidakadilan seperti ini juga berlaku kepada orang lain, tetapi nampaknya ia hanya mendapat perhatian apabila terjadi kepada seseorang yang berpangkat tinggi seperti saya, di mana perhatian awam dan media lebih tertumpu. Saya berharap ketidakadilan ini berakhir dengan saya,” kata Najib kepada hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.
Najib merujuk insiden Anwar ditumbuk sambil matanya ditutup dan digari ketika dia ditahan polis pada penghujung 1990an.
Perbicaraan diteruskan petang ini.
Pada 30 Okt lepas, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Pendakwa raya mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) terlibat dalam salah laku dalam 1MDB atas arahan Najib.
Bagaimanapun, pasukan peguam bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhujah bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan tentang salah laku dalam dana kekayaan negara itu, dan penyelewengan dilakukan semata-mata oleh Low dan anggota pengurusannya.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa berasingan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Dia juga sedang menghadapi perbicaraan bagi kes pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta SRC.
Sebelum ini, Najib dibebaskan dalam satu lagi kes jenayah membabitkan laporan audit 1MDB.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) tertuduh dalam kes pecah amanah membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).