Tawar semua kuota pengambilan guru kepada calon PISMP

Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menawarkan keseluruhan kuota pengambilan guru kepada calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan itu membabitkan penawaran kepada 6,300 calon PISMP tahun ini, selari jumlah kekurangan guru yang direkodkan Kementerian Pendidikan.

Katanya,pelaksanaan itu berbeza daripada ketetapan pentadbiran terdahulu yang tidak membenarkan keseluruhan pengambilan guru dibuat dalam kalangan calon PISMP.

Menurut beliau, pengambilan calon bagi PISMP diperluas kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan matrikulasi, bertujuan memastikan jumlahnya mencukupi untuk menampung keperluan.

“Namun, tahun ini kita berjaya mendapatkan calon dan membuat penawaran 100 peratus, membabitkan 6,300 orang untuk semua jenis sekolah seliaan KPM. Ia sudah pun ditawarkan dan ditempatkan.

“Ini amat penting untuk memastikan dalam (tempoh) lima tahun hadapan apabila golongan ini (calon PISMP) keluar (tamat pengajian), maka isu terbabit (kekurangan guru) dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya yang menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai isu kekurangan guru di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pengambilan khas bagi Sarawak tahun ini, khusus bagi menangani isu kekurangan guru.

Beliau berkata, urusan pengambilan khas terbuka kepada graduan pendidikan dan bukan pendidikan dengan temu duga sudah bermula pada Oktober lalu, selain keputusan dijangka keluar awal bulan ini.

“Sehingga 31 Oktober lalu, jumlah waran perjawatan bagi sekolah di Sarawak adalah berjumlah 43,334. Jumlah pengisian guru di Sarawak adalah seramai 41,221 orang dengan kekosongan sebanyak 2,113 perjawatan. Kadar pengisian guru adalah sebanyak 95.12 peratus.

“Urusan pengambilan khas Sarawak tahun ini berdasarkan kekosongan jawatan mengikut opsyen seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Pendidikan Islam serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

“Pengisian jawatan bergantung kepada bekalan calon yang berjaya dalam temu duga SPP. Unjuran Kementerian Pendidikan bagi pengambilan khas Sarawak 2024 adalah seramai 1,733 orang,” katanya menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok). – UTUSAN