“Ada yang tidur berbantalkan lengan sahaja” – Cikgu Mohd Fadli Kongsi Keadaan Calon SPM Di Tumpat

Pendidikan

Meskipun beberapa negeri sedang dilanda bencana banjir, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember 2024 diteruskan seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Difahamkan, calon SPM yang terjejas diberikan kebenaran menduduki ujian di mana-mana pusat peperiksaan dan diberikan kemudahan asrama.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan kerana tidak menangguhkan SPM dikala sebahagian calon berhadapan kesukaran kerana terjejas banjir.

Ini disebabkan, situasi banjir yang tidak menentu turut memberi kesan mental dan fizikal kepada pelajar, guru, dan keluarga yang terlibat.

Artikel berkaitan: Ujian Bertutur SPM Di Kawasan Terlibat Banjir Diteruskan Seperti Dijadualkan – Menteri Pendidikan

Cikgu Mohd Fadli kongsi keadaan calon SPM di Tumpat

Bekas guru, Mohd Fadli Salleh yang dikenali sebagai seorang yang lantang menyuarakan isu membabitkan sistem pendidikan negara berkongsi hantaran mengenai keadaan calon SPM yang berada di Tumpat, Kelantan.

Menerusi hantarannya di Facebook, asrama dan khemah yang disediakan sudah penuh menyebabkan ada calon terpaksa tidur di dalam surau beralaskan tikar sahaja.

469092489 9030272093660972 7394027507223810496 N

“Asrama penuh. Khemah penuh. Terpaksa tidur dalam surau. Tanpa tilam. Tanpa toto. Hanya tikar yang kami kirim tadi sahaja. Ada yang tidur berbantalkan lengan atau beg sahaja.

“Dekat PPS Biji Wangsa tadi pun majoriti mangsa banjir tiada toto, tiada tilam. Bahkan ada pakcik strok terbaring atas kerusi minta ihsan toto.

“Calon SPM kat situ 25 orang tak ada toto. Mujur ada sikit lagi stok toto tadi, terus bagi kat calon-calon SPM,” tulisnya.

Jelasnya, keadaan tersebut diterimanya hasil kiriman seorang mangsa banjir yang juga turut bertanyakan mengenai sokongan psikososial yang dijanjikan KPM untuk membantu calon terkesan.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Fadli menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan semoga pelajar-pelajar ini dapat menjawab peperiksaan dengan baik walaupun berada dalam keadaan yang serba kekurangan.

Screenshot 2024 12 02 121444

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan calon SPM yang menjadi mangsa banjir dalam menghadapi tekanan besar.

Sama-sama kita doakan kepada calon-calon SPM dipermudahkan urusan menjawab peperiksaan. Mungkin pihak berkaitan sedang berusaha memberi keselesaan dan kemudahan kepada calon yang terjejas ini.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.