Mata lebam, ini sebab Zahnita tinggalkan rumah

Perniagaan

PETALING JAYA – Bekas peragawati terkenal, Zahnita mengejutkan ramai apabila mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata.

Menurut Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mendedahkan perkara tersebut, namun terpaksa melakukannya dengan alasan yang tidak diperincikan.

“Saya tidak mahu melakukan ini. Tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya. Dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya pada bahagian kapsyen.

Pendedahan pelakon filem Gila Gila Pengantin Remaja itu mengundang reaksi banyak pihak, termasuk rakan selebriti.

Ramai netizen turut meluahkan kerisauan dan bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu kepada empat orang cahaya mata itu. Mereka bimbang seandainya Zahnita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Turut meninggalkan komen ialah selebriti terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim.

“Kamu tidak layak diperlakukan sebegini,” tulisnya.

“Sebab itulah kenapa kami sering bertanya kenapa awak selalu pakai cermin mata hitam. Semoga Allah hilangkan deritamu dan berikan kebahagian yang selayaknya,” komen netizen.

Sebelum ini Zahnita pernah berkongsi telah pun berpindah ke rumah baharu.

Namun rata-rata netizen beranggapan bahawa perpindahan tersebut adalah disebabkan mahu mengembangkan perniagaan pastri yang semakin mendapat sambutan ramai. – KOSMO! ONLINE