Kerajaan lulus RM3 juta untuk tentera belajar sambil bekerja

Teknologi

PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan anggota tentera menyertai program Work Base Learning atau belajar sambil bekerja (WBL) menerusi 10 program diploma. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua program tersebut akan melibatkan beberapa institusi yang telah dikenal pasti antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

Katanya, setiap anggota yang dipilih akan dinilai oleh institusi di kem atau tempat anggota tentera tersebut bertugas.

“Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kerjasama universiti akan menilai  secara menyeluruh kemahiran dan jangka masa kerja seseorang anggota itu kem atau pusat latihan sebelum menganugerahkan diploma. 

“Ini dapat membantu anggota tentera, ada jaminan untuk masa depan mereka. Ini satu penghargaan untuk mereka yang berkhidmat,” katanya ketika hadir dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Wisma Perwira. 

Kerjasama strategik ini turut melibatkan dua bidang kerjasama lain iaitu Inisiatif Program Komuniti Tertumpu dan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP).

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, setakat ini  236 anggota tentera telah dikenal pasti untuk menyertai program diploma tersebut.

“Setiap tahun 5,000 anggota tentera akan bersara dan mereka akan lalui kursus peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat). 

“Justeru, dengan adanya program ini mereka akan dinilai ketika anggota bekerja lagi,” jelasnya. 

Tambah Mohamed Khaled berkata, antara syarat yang ditetapkan untuk menyertai program ini ialah  anggota tentera perlu  sekurang-kurang 15 tahun berkhidmat. 

Beliau dalam masa yang sama berkata, WBL mampu menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran anggota ATM setelah bersara. 

“Selain itu, WBL juga akan memberikan pengiktirafan kepakaran dan pengalaman kerjaya yang dimiliki anggota kepada akreditasi akademik yang setaraf. – UTUSAN