M K Land raih dua anugerah di MPRA 2024

Perniagaan

PETALING JAYA: M K Land Holdings Berhad (M K Land) telah menambah pencapaian cemerlang dengan meraih dua anugerah berprestij di Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2024, Jumaat lalu.

Dua anugerah tersebut, Anugerah Penggunaan Kandungan Media Sosial Terbaik, penyertaan bertajuk ‘Building M K Land’s Digital Footprint from Scratch’ oleh Penolong Pengurus Digital Media, Kumpulan Komunikasi Korporat, Khaidir Kamaruzzaman dan Anugerah Penjenamaan Korporat bertajuk ‘M K Land: Rebuilding a Legacy, Elevating the Brand’ oleh Penolong Pengurus Penjenamaan Strategik, Kumpulan Komunikasi Korporat, Hazirah Izham.

Syarikat bersaing dengan hampir 200 penyertaan daripada pelbagai agensi dan pengamal Perhubungan Awam (PR) terkemuka korporat di seluruh negara dan berjaya membawa pulang anugerah utama.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi M K Land, Nazri Tumin berkata, anugerah ini melambangkan evolusi M K Land sepanjang tahun ini.

“Kemenangan dalam kategori Penggunaan Kandungan Media Sosial Terbaik adalah amat bermakna bagi syarikat.

“Bermula tanpa sebarang jejak digital, kami telah berjaya membina kehadiran dalam talian yang berdaya saing dan mampu memberi impak yang dapat memperkuatkan lagi suara kami di platform digital, dan sekali gus mengukuhkan lagi pembabitan kami bersama komuniti, serta mempamerkan visi kami untuk terus mencapai kemampanan dan pertumbuhan Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, anugerah Penjenamaan Korporat pula mencerminkan fokus kumpulan dalam mengintegrasikan tradisi dengan pemikiran ke hadapan, memastikan legasi yang telah dibina selama 25 tahun ini terus kekal relevan untuk generasi akan datang.

“Ini adalah satu kejayaan untuk seluruh warga kerja M K Land dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan kumpulan.

“Penyertaan yang memenangi anugerah ini membuktikan dedikasi M K Land terhadap kemajuan dan transformasi M K Land. Penyertaan Khaidir memberi fokus kepada penciptaan kehadiran digital yang memberi impak, mengubah platform media sosial Kumpulan daripada kosong kepada saluran komunikasi digital yang dinamik,” katanya.

Sementara itu, strategi penjenamaan Hazirah menekankan usaha untuk meningkatkan identiti jenama M K Land dan memperluaskan jangkauan keterlihatan jenama, selaras dengan aspirasi pertumbuhan Kumpulan dan impaknya.

Dalam pada itu, Khaidir dan Hazirah berkata, kejayaan mereka adalah hasil usaha bersama dan kemenangan ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus mencabar kemampuan diri dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

“Anugerah Penggunaan Kandungan Media Sosial Terbaik mengiktiraf strategi inovatif yang kami gunakan untuk berhubung dengan khalayak kami dengan cara yang bermakna iaitu membina kepercayaan kepada jenama kami menerusi kehadiran digital dari bawah.

“Sementara itu, Anugerah Penjenamaan Korporat menyoroti komitmen kami untuk mentakrif semula bagaimana M K Land memposisikan kembali jenama kepada umum, untuk memastikan ia kekal relevan, dinamik, dan mampu memberi impak,” katanya. – UTUSAN