Kerajaan pantau cadangan AS kenakan 100 peratus tarif kepada negara anggota BRICS

Perniagaan

PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memantau cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan 100 peratus tarif kepada negara anggota BRICS, meskipun Malaysia hanya negara rakan kongsi blok ekonomi itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemantauan itu adalah untuk meneliti sama ada pengumuman Presiden AS yang dipilih, Donald Trump mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada negara-negara BRICS.

“Kita bukan anggota BRICS. Malaysia kini bersama negara-negara yang baru sahaja menjadi negara rakan kongsi BRICS sebagaimana Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Sekali lagi, saya berpandangan kita perlu memperhatikan dengan teliti potensi pengumuman yang mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada negara-negara BRICS,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran detik kemasukan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di sini, hari ini.

Jelas Tengku Zafrul, meskipun wujud cakap-cakap mengenai peratusan tarif yang dikenakan AS ke atas Kanada dan Mexico termasuk China, Malaysia bagaimanapun tetap terbuka dalam perdagangan dan percaya perlu bekerjasama dengan semua negara.

“Malaysia percaya kepada platform multilateralisme yang wujud hari ini di banyak negara, salah satunya ialah CPTPP. Kami gembira dengan UK yang menjadi antara negara G7 yang bakal turut serta dalam CPTPP.

“Ini menunjukkan bahawa platform perdagangan dan organisasi multilateral adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, meningkatkan ekonomi, dan sudah tentu, mengekalkan kemakmuran serta kestabilan negara,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British, David Wallace berkata, meskipun banyak negara bercakap mengenai kenaikan tarif, UK sebaliknya berusaha secara praktikal, untuk menurunkan tarif melalui keahlian CPTPP dan dengan bekerjasama dalam negara anggota CPTPP.

“Dengan penyertaan UK, CPTPP kini merangkumi 15 peratus daripada ekonomi global untuk menjadikan blok perdagangan bebas ini memperjuangkan perdagangan terbuka dan bekerjasama untuk liberalisasi masa depan,” katanya.

Ahad lalu, Trump mengancam akan kenakan tarif 100 peratus jika negara anggota BRICS meneruskan perancangan melancarkan sistem kewangan baharu yang mungkin melemahkan dolar AS.

“Kami memerlukan komitmen bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu, mahupun menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS yang hebat.

“Jika tidak, mereka akan menghadapi tarif 100 peratus,” tulis Trump di laman web Truth Social miliknya, merujuk kepada kumpulan negara termasuk Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan dan beberapa lagi negara.

Kenyataan itu dibuat sebagai susulan kepada sidang kemuncak BRICS yang berlangsung Oktober lalu di Kazan, Russia, di mana negara anggota membincangkan usaha meningkatkan transaksi bukan dolar dan pada masa sama, mengukuhkan mata wang tempatan.

Kumpulan BRICS berkembang dengan ketara sejak penubuhannya pada 2009 dan kini merangkumi negara seperti Iran, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Secara keseluruhan, gabungan BRICS menyumbang sebahagian besar daripada keluaran ekonomi dunia.

Pada sidang kemuncak di Kazan, Russia berjaya mendapatkan deklarasi bersama yang menggalakkan pengukuhan rangkaian perbankan koresponden dalam BRICS. – UTUSAN