Sabah berpotensi jadi ‘Kota Buku’

Sains

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi untuk menjadi sebuah ‘Kota Buku’ sekiranya banyak karya dalam bidang bahasa dan sastera terus dihasilkan oleh penulis-penulis tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, sekiranya ingin tampil sebagai sebuah Kota Buku maka, lebih banyak buku perlu diterbitkan.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan agar Sabah mampu muncul sebagai dataran kesusasteraan Nusantara.

“Dengan itu, kerajaan negeri akan terus memberi sumbangan bagi membantu persatuan-persatuan penulis seperti IPS untuk membangunkan bidang bahasa dan sastera.

“Kita berharap setiap peruntukan yang diberikan akan ada buku atau karya anak-anak Sabah berkaitan bahasa dan sastera diterbitkan,” semasa majlis perasmian Hadiah Puisi K.Bali di DBP Sabah, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah dengan bantuan Ikatan Penulis Sabah (IPS) sentiasa komited dalam membantu melahirkan lebih ramai penulis dalam kalangan anak muda di negeri ini.

Setiap tahun pelbagai program diadakan bagi mengasah dan menggilap bakat anak-anak muda dan remaja dalam bidang penulisan dan sastera.

“Sepertimana kami juga lahir daripada penulis remaja melalui program yang dianjurkan oleh DBP iaitu program anak angkat DBP. Inilah yang melahirkan penulis-penulis Sabah seperti Jasni Matlani dan Hasyuda Abadi,” katanya.

Beliau berkata, hadiah puisi itu sebagai menghargai sumbangan penulis-penulis Sabah dalam membantu memartabatkan bidang bahasa dan sastera.

Antara puisi yang menerima hadiah utama pada majlis tersebut adalah Siti Sarah Jantan dari Malaysia dengan karya berjudul ‘Matahari pecah di tangan ayah’ dan Ahmadun Yosi Herfanda dari Indonesia dengan judul ‘Surat cinta untuk Puan Sunyi’.

Empat karya turut menerima hadiah penghargaan iaitu Hamidah Pengiran Abdul Rahman dari Malaysia dengan judul karya Taaruf Embun; Nooraisyah Maidin juga dari Malaysia dengan karyanya Langit Laguna dan dua karya dari Indonesia iaitu karya Dr Panji Pratama dengan judulnya Syafaat Rerumputan; Zup Dompas Usman dengan judulnya Tujuh Menara Cahaya.-UTUSAN