Ramai rakyat Malaysia ada nombor telefon saya – Najib

Perniagaan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui bagaimana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mendapat nombor telefonnya.

Najib berkata, ia mungkin disebabkan abang Jho Low, Low Taek Szen mengenali anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz.

“Saya tidak pasti sepenuhnya bila Jho Low mendapat nombor telefon bimbit peribadi saya, tetapi saya mengenalinya melalui anak tiri saya, Riza yang mengenali Taek Szen sejak mereka bersama di London.

“Hubungan keluarga ini berkemungkinan memudahkan akses Jho Low kepada maklumat saya.

“Pada masa sama ramai rakyat Malaysia juga mempunyai nombor telefon bimbit peribadi saya. Saya mesti katakan ia adalah budaya politik Malaysia, bukan sahaja dengan saya tetapi juga berlaku kepada perdana menteri terdahulu dan menteri lain,” katanya.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib, 71, memilih menjawab semua 25 pertuduhan tersebut melalui keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE