Fadhlina ucap takziah pemergian isteri Cikgu Din

Pendidikan

PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar (Cikgu Din) sekeluarga atas pemergiaan isteri tercinta malam semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina turut berdukacita atas pemergian isteri Cikgu Din, Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada Cikgu Din dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak.

“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah,” katanya hari ini.

Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian rakan Cikgu Din di Facebook, dia memaklumkan guru tersebut dibelenggu resah apabila terpaksa berjauhan lebih 4,600 kilometer (km) dengan isteri tercinta, Nur Atiqah My Yusoff yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Ketika itu, Cikgu Din mengajar di Sarawak, manakala isterinya menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Prihatin dengan nasib guru tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan arahan penempatan sementara bagi membolehkan Cikgu Din untuk berada bersama-sama isterinya di Kelantan. – KOSMO! ONLINE