MR D.I.Y menang Anugerah Penjenamaan Dunia kali ke-7

Perniagaan

PETALING JAYA: Peruncit pembaikan rumah serantau MR D.I.Y. Group sekali lagi membuktikan kedudukan apabila membawa pulang kemenangan ketujuh berturut-turut di Anugerah Penjenamaan Dunia (WBA) edisi ke-17 yang berlangsung di United Kingdom pada 26 November lalu.

Pada anugerah yang dianjurkan oleh Forum Penjenamaan Dunia itu, MR D.I.Y diiktiraf sebagai ‘Jenama Runcit Pembaikan Rumah Teratas’ dalam kategori Anugerah Serantau, meraikan kejayaannya merentasi empat pasaran iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Anugerah WBA terdahulu MR D.I.Y Group termasuk tiga Anugerah Kebangsaan dalam kategori Pembaikan Rumah dari 2018 hingga 2020, diikuti oleh Anugerah Serantau dalam kategori yang sama dari 2021 hingga 2023.

Ketua Pemasaran MR D.I.Y. Group, Alex Goh berkata, pihaknya sangat teruja untuk membawa pulang Anugerah Penjenamaan Dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut.

“Kami adalah sebuah syarikat dan pasukan yang komited untuk memberikan pelanggan kami nilai cemerlang, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan pengalaman membeli-belah yang menarik, sambil memberi kesan positif kepada komuniti tempat kami beroperasi.

“Anugerah ini yang mengiktiraf usaha kami dalam bidang ini merentasi empat pasaran utama Asia Tenggara adalah bukti bahawa syarikat telah melaksanakan komitmen secara konsisten dan mengesahkan janji kami tentang ‘Harga Sentiasa Rendah’, yang terus bergema kukuh dengan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pencapaian ini tidak akan dapat diraih tanpa dedikasi pekerja, rakan kongsi dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelanggan dari seluruh rantau, yang telah menjadikan kedai tersebut kegemaran mereka.

“Anugerah seperti ini mengingatkan kami bahawa usaha kami benar-benar membuat perubahan,” ujarnya.

MR D.I.Y. bermula di Malaysia pada tahun 2005 sebagai kedai perkakasan tradisional.

Dengan lebih 4,000 kedai di seluruh rantau ini, jenama ini disokong oleh pekerja dari Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, India, Turki, Sepanyol, Vietnam, Bangladesh dan Poland. – UTUSAN