“Mansuhkan Peperiksaan Bukan Saya Tetapi Putrajaya” – Fadhlina Sidek Ulas Isu UPSR & PT3

Pendidikan

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak belakangan ini, pelbagai pihak telah mengemukakan cadangan dan mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan semula peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut masih diteruskan atas faktor mahu mengurangkan tekanan para pelajar.

Perkara tersebut kemudiannya mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat. Ada yang akur dengan keputusan yang dibuat, ada juga yang tidak bersetuju dan melontarkan kritikan terhadap pengekalan pemansuhan itu.

Baca Artikel Berkaitan: KPM Mansuh Peperiksaan Demi Kurangkan Tekanan Murid – Fadhlina Sidek


Fadhlina Sidek Jelaskan Bahawa Keputusan Pemansuhan UPSR & PT3 Bukan Dibuat Oleh Beliau

Semalam (3 Disember), Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022 bukanlah keputusan beliau, sebaliknya Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin ketika menyandang jawatan itu.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan bahawa buat masa ini, kementeriannya akan meneruskan dasar pendidikan semasa dengan memberi tumpuan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

“Saya dapati ramai ahli Yang Berhormat (YB) masih berminat isu berbangkit berkaitan peperiksaan. Ramai yang bertanya, menggesa (peperiksaan) mesti dikembalikan dan melihat bagaimana kesannya kepada anak kita khususnya selepas pemansuhan UPSR dan PT3.

“Saya ingin beri penegasan, yang hapuskan peperiksaan bukan saya tetapi Putrajaya (Radzi Jidin). Saya ambil pendekatan apa yang ada dalam sistem sekarang ini khususnya pentaksiran. Ini harus diberikan kekuatan, penegasan dan juga (usaha) memperkukuh guru-guru kita,” ujar beliau di Dewan Rakyat.


Radzi Jidin Nafi Buat Keputusan Mansuhkan UPSR & PT3

Susulan hujah diberikan Fadhlina, Radzi lantas bangun mencelah untuk memberikan pencerahan dan pandangan beliau mengenai isu dibangkitkan.

Radzi menjelaskan bahawa keputusan pemansuhan UPSR & PT3 itu bukan dilakukan atas arahan beliau tetapi dibuat secara kolektif dengan persetujuan pihak KPM.

“Berlaku adillah pada saya, yang hapuskan peperiksaan adalah Kementerian Pendidikan. Ia adalah collective responsibility (tanggungjawab bersama),” kata beliau.

Sumber: Malay Mail

Fadhlina Perjelas Bahawa Peperiksaan Tak Boleh Ambil Alih Pembangunan Pendidikan

Berbicara mengenai pelaksanaan PBS, Fadhlina berkata ia merupakan antara usaha KPM bagi pembangunan pendidikan secara holistik.

“Ingin saya tegaskan, peperiksaan tidak boleh ambil alih soal pembangunan pendidikan. Apa yang kita mahu adalah melihat anak-anak kita membesar dan mendapat pendidikan secara holistik.

“Sebab itu saya setuju ada antara soalan dikemukakan YB berkaitan sukan, pembabitan badan beruniform kerana ini yang kita sedang lihat dalam pendidikan.

“Keseluruhan konteks ini sama penting dan sangat penting untuk pembangunan anak kita,” ujar beliau.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Malay Mail

Cikgu Anggap Golongan Muda Tidak Tahu Cabaran Diri Sendiri Jika Tak Ada Stres

Terdahulu, seorang cikgu dikenali sebagai Sir Iqbal (@iqbalahyar) menerusi akaun TikTok berkongsi tentang pandangannya mengenai pemansuhan peperiksaan pelajar sekolah seperti yang ditetapkan oleh pihak KPM.

Menurut Sir Iqbal, golongan dewasa pada zaman kini terlalu memanjakan generasi muda sekaligus menyebabkan mereka tiada hala tuju dalam pembelajaran.

“Kenapa diorang (generasi muda) lembik? Jangan salahkan diorang. Salah kita, generasi tua yang asyik melindungi daripada segala jenis stres sampai mereka tiada stres.

“Tak ada stres adalah satu keadaan yang boleh menyebabkan stres. Apabila kita ada masalah yang kita tahu ia dalam kemampuan kita untuk kawal, kita akan jadi lebih fokus untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: “Anak Muda Tengah Membesar Perlukan Sedikit Stres” – Cikgu Ulas Isu Pemansuhan Peperiksaan

Baca Artikel Berkaitan: “Dah Pesan Jangan Biar Kosong” – Cikgu Pening Tanda Kertas Peperiksaan Pelajar, Banyak Lompong & Jawapan Salah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram