Kesihatan mental libatkan murid, belia meningkat 8.6 peratus 

Kesihatan

KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia meningkat kepada 16.5 peratus pada tahun 2023.

Menerusi statistik yang dikeluarkan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), pada tahun 2019, kadar masalah kesihatan mental melibatkan golongan belia itu adalah sebanyak 7.9 peratus (424, 000 orang) dan meningkat kepada 16.5 peratus (922, 318 orang) pada tahun 2023.

Timbalan Menteri Kesihatan. Datuk Lukanisman Awang berkata, menerusi statistik itu juga, prevalen tingkah laku bunuh diri juga meningkat dalam tempoh 10 tahun di mana perkara itu dilihat sangat membimbangkan.

“Menurut data yang direkodkan, kadar remaja yang mempunyai idea untuk membunuh diri meningkat daripada 7.9 peratus pada tahun 2012 kepada 13.1 peratus pada tahun 2022.

“Selain itu, kadar remaja yang mempunyai pelan untuk membunuh diri juga meningkat daripada 6.4 peratus pada 2012 kepada 10 peratus pada 2022.

“Lebih membimbangkan, statistik cubaan bunuh diri turut menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 6.8 peratus pada tahun 2012 kepada 9.5 peratus pada tahun 2022,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-LEDANG) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa IPTi dan pendekatan polisi dalam menangani isu ini.

Tambah beliau, disebabkan perkara ini, di pihak kementerian mengambil inisiatif dengan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.

Selain itu, kementerian juga membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja dengan Menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love).

Di peringkat sekolah juga, Program Minda Sihat Sekolah iaitu kolaborasi antara KKM dan Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.

“KKM juga berusaha meningkatkan bilangan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027. 

“Sehingga kini, terdapat 18 Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di hospital KKM,” katanya. – UTUSAN