Rakan Grab di Johor jana lebih RM500 juta tahun lalu

Teknologi

PETALING JAYA – Grab Malaysia terus memainkan peranan penting di Johor dengan memanfaatkan teknologi untuk memacu pemerkasaan ekonomi dan pertumbuhan inklusif, yang mana komuniti Rakan Grab di negeri itu berjaya menjana pendapatan lebih RM500 juta melalui platform tersebut tahun lalu.

Sejak dilancarkan di Johor pada 2013, Grab telah menyediakan peluang pendapatan melalui platform berasaskan penyelesaian teknologi kepada hampir 100,000 Rakan Grab, termasuk lebih daripada 400 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lebih 3,000 wanita.

Pengarah Komersial dan Penghantaran, Grab Malaysia, JJ Tan berkata, selaras dengan inisiatif ‘Rakyat’ Johor yang bertujuan menjadikan negeri berkenaan sebagai kuasa ekonomi baharu di Malaysia, pihaknya memanfaatkan teknologi untuk membantu peniaga berkembang maju dan memacu aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti.

“Dengan menyediakan penyelesaian digital inovatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, kami menyaksikan peningkatan lebih daripada 4 peratus tahun ke tahun dari segi pendaftaran PKS ke platform Grab di Johor, dengan lebih separuh daripada perniagaan ini mengekalkan taraf 5 bintang berdasarkan penilaian oleh jutaan penggemar makanan.

“Melalui platform Grab, kami ingin membantu meningkatkan keterlihatan, menyokong sektor pelancongan, dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa yang sama, kami ingin turut menyumbang kepada ekonomi Johor yang dinamik serta memperkenalkan warisan kaya dan peluang yang pelbagai kepada penduduk serta pelawat,” katanya semasa sesi Sembang TechTarik yang dianjurkan oleh Grab Malaysia di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menyokong industri pelancongan

Platform Grab melayani 1 dalam 20 orang di seluruh Asia Tenggara, menyerlahkan peranannya dalam menghubungkan komuniti.

Di Malaysia, Grab telah menjadi rakan pengangkutan yang dipercayai pelancong. Daripada perkhidmatan memesan makanan kepada perjalanan, ia menawarkan kemudahan pada setiap langkah.

65 peratus pelancong menggunakan aplikasi Grab semasa melawat Malaysia, berdasarkan data dalaman Grab dari Januari 2023 hingga Mac 2024, membuktikan peranan penting platform itu dalam meningkatkan pengalaman pelancongan.

Melihat perkembangan ini, Grab telah memperkenalkan Grab Tourist Pack yang memudahkan pelancong menikmati penjimatan segera untuk perkhidmatan pengangkutan serta makanan semasa meneroka Asia Tenggara.

Disediakan di tujuh negara termasuk Malaysia, pek tersebut boleh dibeli pelancong sebaik mereka tiba, membolehkan mereka untuk meneroka lebih banyak kawasan di rantau ini pada kos yang lebih rendah.

Di Malaysia, pelancong boleh menikmati penjimatan sehingga RM65 untuk perjalanan, dan penghantaran makanan dan barangan dengan hanya membayar RM3.50.

JJ Tan (tengah) bersama Rakan Grab pada sesi Sembang Tech Tarik yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Peluang baharu buat komuniti

Pada masa sama, Grab Malaysia turut berkongsi kisah kejayaan Rakan Grab, antaranya Nurfarra Aiza Ahmad Farish, yang cekap mengimbangi semangat untuk menuntut ilmu dengan keperluan menjana pendapatan.

Memiliki ijazah sarjana, anak muda ini menyertai Grab pada tahun 2020 bermula dengan menyewa kereta, sebelum berjaya membeli kereta sendiri selepas setahun yang memberikannya lebih fleksibiliti dan kebebasan.

Perjalanannya tidak berhenti di situ. Dalam kesibukan meneruskan pengajian PhD, Nurfarra kini terus bekerja sambilan di platform Grab.

Sementara itu, Restoran Hua Mui yang ditubuhkan pada tahun 1943 mula meneroka inovasi penghantaran makanan secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 melalui platform GrabFood.

Setelah beberapa waktu, pada Julai 2024, Restoran Hua Mui kembali menyertai program restoran ‘signatures’ Grab, sekali gus mengiktiraf GrabFood sebagai platform yang menyokong pertumbuhan mereka.

Sejak itu, cawangan Eco Botanic mereka mencatatkan pertumbuhan jualan sehingga 107 peratus. Kini dengan tujuh cawangan di seluruh Johor Bahru, Restoran Hua Mui terus berkembang maju dengan bantuan platform GrabFood.

Menerusi kerjasama berterusan dengan komuniti setempat, Grab Malaysia teruja untuk memacu kemajuan di Johor. Dengan teknologi yang memudahkan kehidupan harian, platform ini mencipta impak ekonomi sebenar dan menyokong Johor sebagai pusat inovasi, pelancongan, serta peluang. – KOSMO! ONLINE