LTAT laksana inisiatif bantuan banjir bernilai RM782,800

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan inisiatif bantuan banjir secara menyeluruh bernilai RM782,800.00 bagi menyokong komuniti yang terjejas di seluruh Malaysia.

Menurut kenyataan, dengan kerjasama GLIC/GLC Demi Rakyat & Negara (GDRN) yang diterajui kerajaan, LTAT, telah menyediakan bantuan segera keperluan asas kepada mangsa yang terjejas melalui sinergi bersama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Ini termasuk Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad (BHB), Boustead Plantations (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp), dan Affin Group Berhad (AFFIN).

“Antara inisiatif bantuan banjir bersasar di pelbagai negeri adalah Pharmaniaga mengedarkan lebih daripada 24,000 pek ubat-ubatan penting, termasuk vitamin dan suplemen, bagi menyokong usaha bantuan pemulihan di Terengganu dan Kelantan.

“Boustead Plantations menyumbang sebanyak RM50,000.00 kepada NGO yang membantu komuniti terjejas banjir di kawasan Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Pahang.

“Selain itu, Boustead Holdings bersama Boustead Properties dan BHIC, menyokong NGO di Kelantan dengan sumbangan sebanyak RM27,500, manakala BHPetrol membekalkan 400 pek barangan keperluan asas ke pusat pemindahan melalui Kementerian Pertahanan dan ATM di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, AFFIN pula menawarkan Natural Disaster Relief Programme (NDRP) untuk membantu pelanggan yang terjejas dengan banjir melalui bantuan kewangan untuk pelbagai pinjaman dan produk kewangan, termasuk permohonan moratorium sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Inisiatif ini juga mengetengahkan komitmen LTAT dan Yayasan LTAT terhadap usaha pemulihan pasca-banjir, termasuk menyediakan sokongan sukarelawan kepada veteran di kawasan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, dalam menghadapi cabaran berterusan banjir di hujung tahun, LTAT kekal proaktif dalam usaha bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

“Fokus utama kami adalah memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran, yang memainkan peranan penting dalam respons bencana.

“Kami berharap usaha ini dapat memberikan kemudahan serta bantuan yang diperlukan semasa mereka menghadapi cabaran musim hujan.

“Kami juga bersimpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat banjir dan berdiri teguh bersama mereka yang kini dalam usaha untuk membina semula kehidupan mereka.

“Kami turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan, serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN