Ekonomi, sosial pacu peningkatan kesejahteraan rakyat Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 meningkat 0.7 peratus disokong oleh peningkatan kesejahteraan ekonomi 0.5 peratus dan kesejahteraan sosial 0.8 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan kesejahteraan rakyat Malaysia pada 2023 menandakan keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan pasca pandemik.

Katanya, aktiviti harian seperti kebudayaan, kekeluargaan, hiburan dan rekreasi kembali rancak, mencerminkan semangat rakyat yang lebih aktif dan optimis.

“Namun, peningkatan ini turut dipengaruhi oleh cabaran global yang berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemulihan negara daripada krisis wabak Covid-19 dua tahun lalu terus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dan terbukti melalui prestasi IKRM 2023 yang menunjukkan kesemua indeks komponen mencatatkan nilai indeks melebihi indeks tahun asas 2000.

Secara keseluruhan, beliau berkata, IKRM meningkat 21.3 mata indeks sepanjang tempoh 23 tahun yang lalu dan indeks subkomposit kesejahteraan ekonomi meningkat 30.7 mata indeks bagi tempoh 2023 berbanding 2000.

“Begitu juga, indeks subkomposit kesejahteraan sosial meningkat 16.0 mata indeks pada tempoh yang sama.

“Prestasi IKRM pada 2023 meningkat 0.7 peratus kepada 121.3 mata berbanding 120.4 mata pada 2022. Kedua-dua subkomposit kesejahteraan menunjukkan peningkatan pada 2023,” ujarnya.

Tambahnya, indeks subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan 0.5 peratus pada 2023 kepada 130.7 mata berbanding 130.0 mata pada 2022 dan indeks subkomposit kesejahteraan sosial pula meningkat 0.8 peratus kepada 116.0 mata berbanding 115.1 mata pada tempoh yang sama.

“Pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan oleh peningkatan sembilan daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada 2023.

“Antara komponen tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan IKRM 2023 adalah kebudayaan (6.0 peratus), pengangkutan (2.4 peratus), hiburan dan rekreasi (2.2 peratus) serta keluarga (2.2 peratus).

“Analisis menunjukkan bagi subkomposit kesejahteraan ekonomi, didapati tiga komponen merekodkan peningkatan pada 2023 disumbangkan oleh komponen pengangkutan (2.4 peratus), pendidikan (0.8 peratus) dan komunikasi (0.2 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, prestasi IKRM di peringkat negeri menunjukkan terdapat lima negeri mencatatkan peningkatan indeks pada tahun 2023 berbanding 2022.

“Terengganu kekal tidak berubah, manakala lapan negeri lagi mencatatkan penurunan indeks bagi tempoh yang sama. Tiga negeri yang dengan peningkatan tertinggi pada 2023 berbanding 2022 ialah Perlis (1.4 peratus) diikuti Johor (1.0 peratu) dan Pahang (0.5 peratus).

“Sebaliknya, tiga negeri yang merekodkan penurunan terbesar adalah Sabah (-2.2 peratus), Wilayah Persekutuan (-0.8 peratus) dan Pulau Pinang (-0.7 peratus),” jelasnya. – UTUSAN