‘Kesihatan mental generasi sekarang lebih teruk akibat buli siber’

Kesihatan

PETALING JAYA – Pelakon Amir Ahnaf mendedahkan dirinya belajar untuk mengawal emosi daripada memberikan sebarang respons terhadap buli siber yang diterima bagi mengelak sebarang situasi semakin parah.

Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 24, berkata, orang ramai juga seharusnya menghentikan gejala tersebut kerana mampu menjejaskan kesihatan mental terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Saya rasa kesihatan mental generasi muda sekarang ini lebih teruk kerana buli siber yang semakin berleluasa.

“Tolonglah hentikan buli ini kerana sangat tidak matang. Ada banyak lagi benda boleh buat selain buli siber.

“Cara saya elak terkesan daripada buli siber adalah belajar kawal emosi sendiri. Kalau kita tak mampu mengawalnya, semua perkara akan jadi lebih huru-hara selain menjadi hamba kepada emosi sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Selain mengawal emosi, Amir juga menasihatkan agar kerap bertanya khabar individu sekeliling bagi memastikan kesihatan mental sentiasa dalam keadaan baik.

“Banyak yang boleh memberi pengaruh hari ini, ditambah dengan kewujudan media sosial.

“Jadi, sentiasalah jaga orang sekeliling, keluarga dan kawan-kawan. Selalulah tanya khabar mereka,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia juga menolak sekiranya generasi muda hari ini dilabel sebagai ‘generasi manja’ kerana dikatakan terlalu sensitive dan tidak kuat dalam menghadapi situasi yang sulit.

“Tiada istilah generasi sekarang manja, hakikatnya kita semua memang dilahirkan untuk menjadi individu yang manja.

“Sifat manja itu memang ada dalam diri semua orang dan manusia itu sendiri dijadikan sebagai orang yang sensitif jadi, kenapa nak salahkan orang jadi manja?” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE