Pakar Psikiatri Dengan Nama Seperti Orang Malaysia Dipenjara Kerana Kes Amang Seksual Remaja Di Ireland

Kesihatan

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang pakar psikiatri kanak-kanak dipenjara lapan tahun enam bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan jenayah penderaan seksual terhadap seorang remaja perempuan di Ireland.

Pesalah iaitu Amirul Arif Bin Mohd Yunos, 38, yang beralamat di Hollystown, Dublin 15 didapati bertugas di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS) di Clonskeagh, Co Dublin.

Memetik laporan RTE, Amirul mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak bawah 17 tahun, satu pertuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak dan satu pertuduhan bertemu kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seksual.

Pesalah sebelum ini tidak mempunyai sabitan dan berada dalam tahanan berhubung kesalahan ini sejak 14 bulan lalu.

Meskipun namanya seperti orang Melayu Muslim di Malaysia, namun kami tidak dapat mengesahkan perkara tersebut buat masa ini.


Mangsa Alami Trauma Dan Kesakitan Selepas Jenayah Ini Dilakukan Terhadapnya

Mangsa sebenarnya bukanlah pesakit kepada pesalah. Namun, ibu bapa kepada remaja perempuan tersebut mengenali Amirul dan meminta bantuannya untuk merawat anak mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.

Kebanyakan insiden membabitkan remaja itu berlaku ketika dia berusia 15 tahun (antara Mei dan Jun 2023) dan kejadian terakhir berlaku pada September 2023 semasa dia sudah berumur 16 tahun.

Insiden ini dikatakan bermula dengan sentuhan yang tidak sopan sebelum pesalah bertindak lebih jauh lagi dengan melakukan aktiviti seksual dengan remaja terbabit.

Kesalahan tersebut dilakukan di beberapa lokasi seperti di dalam kereta, kediaman mangsa dan pesalah serta di pejabatnya.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Susulan kejadian itu, mangsa yang kini berusia 17 tahun dilaporkan mengalami trauma dan tekanan mental yang berlarutan.

Ketika kenyataan mangsa dibacakan oleh peguam pendakwaan, gadis tersebut menyalahkan dirinya kerana merasakan dia telah mendorong kepada salah laku tersebut.

“Dia membuatkan saya percaya bahawa pelukan yang saya perlukan ketika saya sedang mengalami waktu-waktu sukar telah membawa kepada penderaan seksual,” katanya.

Remaja berkenaan dipercayai mahu memberitahu kepada isteri Amirul tetapi dihalang oleh pakar pskiatri terbabit.

Pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS)
(Sumber: Sheffield Children’s Hospital)

Pesalah Tidak Lagi Boleh Bekerja Di Ireland

Hakim di Dublin Circuit Criminal Court, Orla Crowe mengatakan Amirul “sangat bertuah kerana mempunyai komuniti dan isteri yang menyokongnya”, merujuk kepada testimoni yang dikemukakan kepada mahkamah.

Hakim Crowe juga berkata mahkamah telah menyemak testimoni, surat permohonan maaf Amirul Arif, dan laporan psikologi.

Dia menekankan bahawa laporan psikologi menyebut bahawa Amirul mempunyai kerjaya yang kukuh tetapi disebabkan jenayah yang dilakukan, dia tidak akan dapat lagi bekerja dalam bidang ini di Ireland pada masa akan datang.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.