MP gesa BNM bertindak ke atas syarikat insurans ingkar

Kesihatan

PARLIMEN | Sekumpulan ahli parlimen PKR menggesa agar Bank Negara Malaysia (BNM) campur tangan dan menyiasat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) yang terus menaikkan premium walaupun bank pusat mengarahkan semakan dibuat terlebih dahulu.

Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mempersoalkan sama ada BNM akan mengambil tindakan terhadap ITO yang mengabaikan arahannya atau tidak.

“Kami sebagai wakil pemegang polisi kini mengemukakan persoalan-persoalan ini: adakah ITO akan mematuhi arahan BNM, atau adakah mereka hanya akan melaksanakan penetapan semula harga pada tahun-tahun akan datang?

“Adakah Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) benar-benar mewakili semua syarikat insurans?” katanya.

Sim berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Liam, Mark O’Dell, yang memaklumkan bahawa kenaikan premium insurans perubatan yang diumumkan untuk tahun depan akan kekal.

Bagaimanapun, katanya, syarikat insurans bersetuju untuk melaksanakan pelarasan harga semula itu secara beransur-ansur pada masa hadapan.

Sebelum ini, dilaporkan caruman insurans boleh meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus.

Sim juga meminta orang ramai menghantar maklum balas dan aduan mereka kepada PKR melalui e-mel [email protected].

Dia juga mendedahkan menerima lebih 147 aduan melalui e-mel, panggilan telefon, dan WhatsApp hanya dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu Sim turut menggesa setiap ITO menyatakan pendirian mereka dengan jelas, dan menekankan bahawa pemegang polisi berhak mendapat jawapan yang telus serta komprehensif.

“Kami juga memohon BNM menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Adakah caruman insurans akan naik seperti yang dirancang ITO?

“Adakah BNM akan memberi arahan kepada syarikat-syarikat ITO untuk mengkaji semula kenaikan? Apakah tindakan BNM kepada syarikat-syarikat yang mengingkari arahan BNM?” soalnya.

Kenyataan itu turut disokong Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Phuah; Taufiq Johari (Sungai Petani), R Yuneswaran (Segamat), dan Chiew Choon Mun (Miri).

Menyuarakan kebimbangan yang sama, Phuah berkata jika perkara itu tidak diselesaikan, ia akan mencetuskan krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku di negara ini.

“Jika sekarang mereka yang mampu mendapatkan penjagaan kesihatan swasta terpaksa beralih ke hospital awam kerana kenaikan premium dan caj hospital, ia akan memberi tekanan yang besar kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam.

“Hospital awam sekarang sudah terbeban. Bayangkan jika kemasukan ini berlaku – kita akan menghadapi masalah kesesakan yang teruk,” jelasnya.

[Baca berita asal]