KKM wujudkan ‘pintu tunggal’ selaras pelaksanaan teknologi kesihatan

Kesihatan
Lukanisman mengunjungi gerai pameran sempena Health Tech Innovation Connect 2024, di sini hari ini. Foto Bernama

Lukanisman mengunjungi gerai pameran sempena Health Tech Innovation Connect 2024, di sini hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan ‘pintu tunggal’ atau hab teknologi kesihatan menerusi Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) untuk menyelaraskan proses pembangunan, penilaian, penerimaan dan pelaksanaan teknologi kesihatan di peringkat kementerian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, mekanisme pintu tunggal bagi inovasi teknologi kesihatan itu akan memastikan penyelesaian penjagaan kesihatan yang bukan sahaja inovatif tetapi juga selamat, berkesan dan mudah diakses.

“Inisiatif ini akan mempupuk suatu ekosistem yang menghubungkan inovasi dengan peraturan, memastikan bahawa rakyat meraih manfaat daripada kemajuan teknologi terkini tanpa penangguhan,” katanya pada majlis perasmian hab tersebut sempena Health Tech Innovation Connect 2024, di sini hari ini.

Bertemakan ‘Collaborating for a Healthier Future: How Innovation Can Elevate National Healthcare Outcomes’ program di bawah i-Nation itu dianjurkan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Turut dilancarkan hari ini, Diabetic Retinopathy Inference with Multi Artificial Neural Network Technology Automation (DR.MATA) iaitu hasil inovasi KKM dengan kolaborasi syarikat tempatan yang juga teknologi pertama daripada inisiatif pintu tunggal tersebut.

“DR.MATA merupakan sistem kecerdasan buatan (AI) canggih yang direka untuk mengesan dan memberikan diagnosis retinopati diabetes dengan impak pengesanan awal, penambahbaikan akses dan hasil rawatan yang lebih baik,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Lukanisman berkata, kementeriannya sedang mengkaji keperluan menggubal satu dasar baharu berkaitan penggunaan AI dalam sektor kesihatan negara susulan perkembangan pesat teknologi itu.

“Setelah kita bersedia, kemungkinan KKM dapat mengusulkan sesuatu kepada Parlimen dan juga jika Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ingin mendengar kewajaran sama ada AI (dalam sektor kesihatan) ini dikawal selia melalui satu akta atau kita berikan ruang kepada AI berkembang dahulu sehingga satu tahap yang memerlukan perundangan,” katanya.

Selain DR.MATA, katanya pelbagai inovasi kesihatan lain yang dipacu AI kini dalam peringkat kajian dan akan diperkenalkan dari semasa ke semasa setelah melalui penilaian rapi.

“Contohnya bidang sinar-X yang memerlukan pendekatan AI dan sedang diperhalusi. MaHTAS juga sedang mengkaji langkah ke hadapan, apa jenis inovasi yang boleh kita gunakan dalam fasiliti penjagaan kesihatan kita,” katanya. – Bernama