Hannan Medispa sumbang dua unit inkubator neonatal kepada HPUSM

Sains

PETALING JAYA – Hannan Medispa Sdn. Bhd. (Hanan Medispa)  menyumbang dua unit inkubator neonatal bernilai RM80,000 kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian sempena Hari Pramatang Sedunia.

Pengasasnya, Dr Hannan Yusof berkata, sumbangan tersebut adalah untuk mengisi kekurangan mesin tersebut yang dialami oleh unit neonatal Jabatan Pediatrik di hospital berkenaan.

“Bukan sahaja di HPUSM malah hospital-hospital lain juga pada masa ini mengalami kekurangan mesin. Sehubungan itu, kami terpanggil untuk membantu pihak hospital.

“Sebelum ini, arwah anak saya pernah dirawat di NICU, HPUSM dan saya memilih hospital ini untuk program CSR ini dan saya berharap bantuan ini akan diteruskan pada masa depan” katanya dalam kenyataan bersempena majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini.

Hannan berharap, mesin bantuan tersebut akan dapat membantu bayi-bayi pramatang yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset HPUSM, Dr. Mohamed Asyraf Mohamed Daud menerangkan, terdapat 60 pesakit yang menjalani rawatan di wad dan sehingga kini  hanya terdapat 20  mesin  digunakan.

“Setiap tahun, pihak hospital akan memohon penambahan aset namun kekangan bajet juga menjadi faktor utama.

“Jadi apabila ada sumbangan seperti ini, pihak hospital sangat mengalu-alukanya” jelas Mohamed Asyraf.

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada mangsa banjir,  Hannan memaklumkan bahawa pihaknya kini turut  membantu mangsa bemcana alam itu di daerah Tanah Merah. -KOSMO! ONLINE