‘Tak perlu sesi kedua SPM, sesi pertama sudah catat kehadiran 99 peratus’ – Fadhlina

Sains

DENGKIL – Cadangan untuk mengadakan sesi kedua bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 tidak perlu dilaksanakan kerana ujian bertutur sudah mencatatkan 99 peratus kehadiran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persiapan penuh sudah diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menghadapi situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Kenapa kena ada sesi kedua kalau kita boleh buat satu sesi sahaja? Semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan Rakyat bahawa persiapan kita menghadapi banjir ini di bawah OPS Payung.

“OPS Payung kita aktifkan setiap tahun apabila berhadapan dengan bencana banjir dan ia merupakan kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua garis panduan (SOP) banjir,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Pelancaran Pecah Tanah Dua Sekolah Rendah Awam di Bandar Gamuda Cove, di sini pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mencadangkan KPM untuk mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM 2024 supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pendekatan tersebut tidak mustahil dilaksanakan ekoran pernah dibuat ketika negara dilanda Covid-19 dan banjir pada tahun 2022.

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan, sehingga kini KPM berpuas hati dengan pelaksanaan fasa pertama bagi proses pemindahan dan fasa kedua melibatkan pembugaran emosi.

Ujarnya, sejak hari pertama hingga ketiga, kesemua pelajar yang terlibat SPM berjaya menghadapi peperiksaan khususnya ujian lisan dengan sangat baik.

Tambah beliau, kini tumpuan diberikan kepada persiapan seterusnya iaitu luruan kedua bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

“Tumpuan akan diberikan kepada ujian amali sains dan ujian bertutur bahasa Inggeris. Alhamdulillah setakat ini dan kehadiran anak-anak kita sangat memberangsangkan.

“Setakat semalam keseluruhan kehadiran adalah 99 peratus untuk kehadiran ujian bertutur. Kita sedang kenal pasti yang tidak dapat hadir dan akan bawa ke sidang pada 5 Disember untuk ujian bertutur Bahasa Melayu.

“Jadi, tidak timbul soal sidang kedua kerana kita boleh susun dengan keupayaan pegawai dan agensi kita untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM sedia mempertimbangkan cadangan pengurangan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan sebagai syarat memohon pertukaran guru seperti ditetapkan sebelum ini bagi mengelak kisah Cikgu Din berulang.

Menurutnya, isu kebajikan guru sentiasa menjadi keutamaan pihak KPM.

“Pertimbangan itu sentiasa ada, sebab itu dalam jawapan di parlimen, penegasan-penegasan kita, isu kebajikan guru itu menjadi keutamaan.

“Jadi, yang disebut oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) itu (longgar syarat tempoh pertukaran guru) adalah selari dengan apa yang sedang kita laksanakan sekarang dalam polisi dan dasar kita khusus berkaitan dengan isu tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gamuda, Tan Sri Ambrin Buang berkata, majlis pecah tanah bagi dua sekolah rendah awam itu merupakan langkah awal dalam merealisasikan komitmen pihaknya terhadap pembangunan komuniti yang holistik.

Ujarnya, projek berkenaan terletak di perbandaran pintar Gamuda Cove yang merangkumi kawasan seluas 619.169 hektar.

“Kedua-dua sekolah ini akan dibangunkan dalam dua fasa dan mampu menampung sehingga 2,400 pelajar melalui 48 kelas apabila siap sepenuhnya. Fasa pertama bagi pembangunan itu disasarkan siap menjelang 2026.

“Pada masa sama, projek ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan infrastruktur pendidikan di seluruh negara termasuk kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya.