FAM gantung Persatuan Bolasepak Perlis, hutang RM1 Juta

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sah digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas gagal menjelaskan hutang mencecah RM1 juta dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah berkata, PFA didapati gagal melunaskan tunggakan gaji serta pampasan kontrak bekas pengarah skuad Singa Utara pada 2019, Matt Holland.

“Holland membuat aduan selepas PFA gagal menjelaskan bayaran tersebut dan FIFA menerusi surat bertarikh 11 November 2024, PFA diarahkan untuk membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak CHF15,000 (RM75,000).

“Sementara FAM yang telah dinamakan sebagai responden kedua (kerana gagal memastikan PFA mematuhi keputusan FIFA) telah dikenakan denda sebanyak CHF5,000 (RM25,100).

“Sekiranya tiada pembayaran dibuat PFA, tindakan boleh diambil oleh FIFA terhadap FAM sebagai responden kedua, antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20% daripada Program FIFA Forward.

“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA,” katanya.

Selain Holland, dipercayai masih ramai bekas pemain Perlis belum menerima tunggakan gaji selepas pasukan itu bersaing pada awal saingan Liga Super sebelum dibubarkan ekoran masalah kewangan.-UTUSAN