Seorang ahli Dewan Negara hari ini meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya campur tangan dengan tegas untuk mengawal caj rawatan di pusat perubatan swasta serta mengawasi syarikat-syarikat insurans.
Menurut Senator C Sivarraajh tindakan ini amat penting bagi memastikan kos perubatan tidak terus membebankan rakyat, khususnya golongan yang kurang mampu.
Dia memetik laporan Mercer Marsh Benefits 2023, berkata kadar inflasi perubatan di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 12 peratus hingga 15 peratus setahun dan angka ini jauh lebih tinggi daripada kadar inflasi biasa negara, yang hanya sekitar 3.3 peratus pada tahun lalu.
“Satu isu besar yang kian menghimpit rakyat, kos rawatan perubatan yang melambung tinggi. Masalah ini, jika tidak diatasi segera, akan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada masa depan sistem kesihatan negara.
“Kos ubat-ubatan, teknologi moden dan permintaan tinggi terhadap hospital swasta menjadi penyebab utama. Akibatnya, premium insurans kesihatan turut melonjak.
“Dalam lima tahun kebelakangan ini, premium meningkat 30 peratus hingga 50 peratus. Ramai dalam kalangan M40 dan B40 kini tidak lagi mampu membayar premium.
“Apa maknanya ini? Ini bermakna rakyat semakin terdedah tanpa perlindungan perubatan yang mencukupi,” katanya pada kenyataan hari ini.
Sivarraajh berkata kerajaan perlu memperkenalkan dasar kawalan harga untuk memastikan caj perubatan hospital swasta tidak melampaui batas.
“Kita boleh belajar daripada negara jiran seperti Singapura yang mengawal caj rawatan melalui skim nasional seperti MediShield Life,” katanya.
Syarikat insurans jelasnya, perlu digalakkan menawarkan pelan asas dengan premium lebih rendah, khusus untuk golongan M40 dan B40 seperti amalan di Jerman dan Belanda.
“Kesihatan bukan barang dagangan. Ia adalah hak asasi setiap manusia. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menderita kerana sistem yang berat sebelah.
“Kerajaan mesti bertindak. Kita mesti bertindak. Jika tidak, lambat laun, sistem kesihatan kita akan runtuh, dan rakyat yang akan menjadi mangsanya. Jangan tunggu sehingga terlambat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) Mark O’Dell memaklumkan kenaikan premium insurans perubatan yang diumumkan untuk tahun depan akan kekal.
Bagaimanapun, katanya syarikat insurans bersetuju untuk melaksanakan pelarasan harga semula itu secara beransur-ansur pada masa hadapan.
Sebelum ini, dilaporkan caruman insurans boleh meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus.