Tiada keperluan untuk mengadakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 kerana kehadiran calon untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu sangat memberangsangkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata keseluruhan kehadiran adalah 99 peratus setakat semalam sekali gus menunjukkan kelancaran Op Payung bagi tujuan menyelamat dan memastikan calon dapat hadir walaupun terjejas akibat banjir.
“Kenapa kena ada sesi kedua kalau kita boleh buat satu sesi sahaja? Jadi, semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan Rakyat bahawa persiapan kita menghadapi banjir ini adalah di bawah Op Payung.
“Op Payung ini kita aktifkan setiap tahun bila berhadapan dengan isu bencana banjir dan ia adalah kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua garis panduan semasa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Bandar Gamuda Cove di Dengkil hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Pengerusi Gamuda Tan Sri Ambrin Buang.
Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan pelaksanaan SPM yang memasuki hari ketiga selepas fasa pemindahan dan pembugaran emosi.
“Hari ketiga, anak-anak kita telah menghadapi peperiksaan ujian bertutur khususnya dengan sangat baik. Persiapan kita seterusnya adalah untuk menghadapi luruan kedua pada minggu hadapan yang dijangka berlaku gelombang kedua (banjir), jadi kita akan tumpukan perhatian kepada itu,” katanya.
Beliau berkata persiapan akan terus diberi tumpuan untuk Ujian Amali Sains dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris.
Fadhlina juga berkata KPM sedang mengenal pasti calon yang tidak dapat hadir Ujian Bertutur Bahasa Melayu agar mereka dapat mengambilnya hingga esok (5 Dis).
“Jadi, tidak timbul soal sidang kedua kerana kita boleh susun setakat ini dengan keadaan dan juga situasi serta keupayaan pegawai-pegawai dan agensi-agensi kita bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Untuk rekod, seramai 402,956 calon mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2024.
Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula 2 Dis hingga Khamis ini manakala Ujian Amali Sains pula ditetapkan pada 9,10 dan 12 Dis ini.
Ia diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16,17,18, dan 19 Dis manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu pada 31 Dis dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 31 Dis.
Peperiksaan bertulis pula diadakan dari 2 Jan hingga 6 Feb 2025.
– Bernama