Letak jawatan demi rakyat – Suhaimi

Sains

BERKENAAN dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, yang cuba untuk mengaitkan skandal rasuah di Sabah ini dengan kes pelaburan FELCRA, kedua-dua isu ini adalah berbeza dari segi konteks dan skop.

Perlu difahami bahawa dalam kes pelaburan FELCRA Berhad, secara dasarnya, keputusan untuk membuat pelaburan kepada Public Mutual Unit Trust telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FELCRA yang kemudiannya telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan dan akhirnya mendapat kelulusan.

Pada masa yang sama, kes ini hanya melibatkan tuduhan ke atas individu dan maklumat adalah berasaskan saksi.

Berbanding dengan skandal rasuah Sabah, ianya melibatkan tuduhan yang lebih serius dengan bukti video yang menunjukkan pemimpin Gagasan Rakyat Sabah (GRS) didakwa menerima wang sogokan untuk pelaksanaan projek kerajaan negeri.

Video-video tersebut, yang kini tular, didakwa merakamkan pengakuan dan interaksi melibatkan pemimpin-pemimpin berprofil tinggi seperti Menteri Kewangan Negeri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri serta Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri termasuk dakwaan bahawa Ketua Menteri Sabah turut terlibat.

Keadaan ini membangkitkan persoalan tentang kewujudan kartel atau jenayah terancang dalam pentadbiran negeri, dengan objektif mengaut habuan dari projek kerajaan. Skandal rasuah Sabah ini mencadangkan penyalahgunaan kuasa secara sistematik dan ia berpotensi menggugat integriti pentadbiran awam.

Sebagai seorang wakil rakyat, hati saya begitu pedih melihat penderitaan rakyat Sabah yang seakan tidak berkesudahan. Mereka masih terus dikhianati oleh pemimpin GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri yang sepatutnya melindungi mereka.

Skandal demi skandal terus menjadi tajuk utama, sedangkan rakyat masih bergelut untuk mencari sesuap nasi.

Ketika rakyat terus dihimpit dengan kemiskinan dan kos sara hidup yang melambung, pemimpin yang diberi mandat memimpin negeri ini terpalit pula dengan tuduhan rasuah.

Di desa-desa, anak-anak kecil berjalan berkaki ayam ke sekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu membeli kasut. Di bandar pula, keluarga bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Isu yang melibatkan Ketua Menteri dan beberapa pimpinan GRS dalam tuduhan kes rasuah adalah tamparan hebat kepada kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri. Saya tidak berniat untuk menuding jari, tetapi sebagai seorang yang menyaksikan secara dekat kehidupan rakyat Sabah, saya perlu bersuara.

Tidak wajar bagi seorang Ketua Menteri yang terpalit dengan skandal besar untuk terus memegang jawatan. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada beliau.

Sebagai Ketua Menteri, kuasa yang dipegang beliau sangat besar. Namun kuasa itu seolah-olah digunakan untuk kepentingan sendiri dan kelompok kecil dan bukannya untuk rakyat. Apabila isu rasuah seperti ini timbul, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa beliau akan bertindak adil?

Datuk Seri Hajiji Noor masih memegang jawatan Ketua Menteri. Ini bermakna beliau boleh menggunakan kuasa itu untuk mempengaruhi siasatan, menyembunyikan dokumen, atau melindungi pihak-pihak tertentu yang mungkin terlibat.

Ini bukan sekadar tuduhan, tetapi persoalan besar tentang integriti. Kuasa yang beliau ada ini, jika disalahgunakan, boleh mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan.

Bagaimana rakyat boleh yakin bahawa siasatan akan berjalan secara telus jika individu yang disiasat masih berada di posisi tertinggi dalam pentadbiran? Beliau mempunyai akses kepada dokumen-dokumen kerajaan yang mungkin berkait rapat dengan kes ini.

Bayangkan, bagaimana kepercayaan kepada institusi kehakiman dan pihak berkuasa dapat dipulihkan jika situasi seperti ini terus berlaku?

Lebih merunsingkan, isu ini bukan hanya melibatkan seorang pemimpin, tetapi melibatkan empat pemimpin bertaraf Menteri, lima Pembantu Menteri serta lima Pengerusi GLC Sabah yang juga adalah pempinan tertinggi di dalam Parti GRS.

Ini bukan sekadar individu tetapi melibatkan kepimpinan sebuah gabungan yang memerintah negeri Sabah. GRS kini berada dalam keadaan yang sangat rapuh kerana terlalu ramai pemimpin yang terlibat atau terpalit.

Konflik kepentingan pasti wujud dan keadaan ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan rakyat yang sudah muak dengan permainan politik. Bagaimana rakyat Sabah boleh percaya kepada sebuah kerajaan yang kelihatannya hanya sibuk memperkayakan diri, sedangkan rakyat terus menderita?

Cuba kita renungkan. Anak-anak di pedalaman Sabah masih belajar di sekolah yang serba daif. Ada yang tiada elektrik, tiada bekalan air bersih, malah ada guru yang terpaksa menggunakan gaji sendiri untuk membeli buku.

Setiap tahun, peruntukan yang diberikan kepada Sabah meningkat secara konsisten. Bagi tahun 2024 contohnya, peruntukan yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi Negeri Sabah adalah sebanyak RM 6.67 billion.

Namun begitu, hanya RM3.1 billion yang telah dibelanjakan. Persoalannya sekarang adalah, sejauh mana peruntukan tersebut dikawal selia secara efektif oleh Kerajaan Negeri Sabah dibawah GRS?

Tidak ada guna jika kerajaan meluluskan peruntukan yang besar tetapi kegagalan dalam pelaksanaan di peringkat Kerajaan negeri dibawah pimpinan GRS menyebabkan rakyat negeri Sabah terus ketinggalan.

Apa logiknya ini? Di mana keadilan untuk rakyat Sabah? Hakikatnya, selagi Datuk Seri Hajiji Noor dan

pemimpin GRS memegang jawatan, kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Negeri Sabah akan terus hancur.

Rakyat tidak akan yakin kepada sistem jika individu yang sedang disiasat masih memegang

kuasa. Ini adalah asas keadilan! Selain itu, kes ini memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri kita.

Sabah memerlukan pelabur untuk membangunkan infrastruktur dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Namun, skandal ini mencalarkan imej negeri kita di mata dunia. Pelabur akan berfikir dua kali untuk melabur di sebuah negeri yang kepimpinannya diragui integritinya.

Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku, kerana ekonomi Sabah tidak mampu menanggung kerugian lebih besar. Jika pelabur menjauhkan diri, siapa yang akan menanggung akibatnya? Rakyat, seperti biasa.

Sebagai seorang wakil rakyat, saya berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan rakyat Sabah dan ingin melihat Sabah maju ke hadapan. Saya tidak akan duduk diam melihat rakyat terus dikhianati oleh pemimpin yang sepatutnya membela mereka.

Ketua Menteri mesti meletakkan jawatan! Ini bukan soal politik atau pengakuan bersalah, tetapi soal tanggungjawab moral kepada rakyat yang telah memberikan mandat kepada beliau.

Ini bukan soal pengakuan bersalah, tetapi soal tanggungjawab moral kepada rakyat Sabah. Rakyat Sabah sudah cukup lama bersabar tetapi kesabaran itu ada hadnya. Mereka tidak akan terus diam melihat pemimpin yang mereka percayai mengkhianati mereka.

Saya menyeru kepada Ketua Menteri, jangan tunggu sehingga rakyat bangkit dengan lebih lantang. Bertindaklah sekarang! Letakkan jawatan demi rakyat, demi keadilan, dan demi maruah negeri Sabah.

Rakyat Sabah berhak mendapat pemimpin yang ikhlas dan bersih. Negeri ini sudah cukup lama bergelut dengan kemiskinan dan ketidaktentuan. Jangan biarkan kepentingan politik menambah derita rakyat yang kita sayangi.

Negeri ini memerlukan kepimpinan yang mampu membawa perubahan, bukan yang membebani rakyat dengan isu-isu peribadi.

Sabah milik kita semua. Jangan biarkan kesilapan individu menghancurkan impian rakyat untuk melihat negeri tercinta ini berdiri megah di persada dunia.

Sabah bukan milik pemimpin, tetapi milik rakyat! Jangan khianati amanah mereka!

*Datuk Suhaimi Nasir ialah Ahli Parlimen Libaran