Di sebalik sejarah nama universiti di Malaysia

Sains

Ketika saya dilahirkan pada tahun 1959, Universiti Malaya yang ditubuhkan di Singapura telah disusun semula sebagai dua divisyen yang berautonomi, iaitu di Singapura dan Kuala Lumpur.

Ia berlaku pada bulan Januari. Maka ia dirujuk sebagai Universiti Malaya Singapura dan Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kampus utama tetap di Singapura.

Malaya merdeka pada tahun 1957. Maka ketika diisytiharkan kemerdekaan, negara ini tidak mempunyai universiti. Apa yang dimaksudkan dengan Federation of Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu tidak termasuk Singapura sedangkan Universiti Malaya berada di pulau itu.

Tetapi banyak institusi berkaitan Malaya beroperasi di Singapura. Radio Malaya umpamanya juga bermula di Singapura pada tahun 1946. Syarikat penerbangan Malaya iaitu Malayan Airways juga beroperasi di sana. Begitu juga dengan syarikat akhbar The Straits Times dan Utusan Melayu.

Ini kerana bagi pentadbir kolonial British, Malaya itu meliputi Singapura. British Malaya terdiri daripada Malay States atau Negeri-negeri Melayu dan Straits Settlements yang bermakna Penempatan-penempatan Selat tetapi diterjemahkan menjadi Negeri-negeri Selat dengan Singapura adalah anggotanya. Ibu kota bagi British Malaya ialah Singapura.

Kuala Lumpur hanya menjadi ibu kota Federated Malay States (FMS) atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Apabila Malayan Union ditubuhkan pada tahun 1946, ia pisahkan Singapura daripada Malaya. Ibu kota Malayan Union ialah Kuala Lumpur.

Pada tahun 1948, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun itu, Universiti Malaya ditubuhkan dengan gabungan Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles yang kedua-duanya berada di Singapura.

Gambarfail, MCKK.

Seringkali di United Kingdom, universiti dinamakan menurut bandar di mana kampusnya berada, seperti Universiti Oxford dan Cambridge. Maka seharusnya Universiti Malaya itu bernama Universiti Singapura.

Tetapi walaupun Singapura sudah dipisahkan dari Malaya pada tahun 1948, universiti yang ditubuhkan di situ dinamakan Universiti Malaya. Bagi pentadbir British, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura masih dianggap sebagai satu entiti yang disebut British Malaya.

Di Malaya ketika itu ada empat kolej iaitu Malay College atau Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada tahun 1905, Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) pada tahun 1922 dan Kolej Pertanian Malaya yang ditubuhkan pada tahun 1947. Ia berasal daripada Sekolah Pertanian Serdang yang ditubuhkan pada tahun 1931. Sementara Kolej Teknikal Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1941. Ia berasal daripada Sekolah Teknikal pada 1907.

Perlu diingatkan bahawa dalam fahaman imperialisme, pentadbiran kolonial tidak mempunyai sebarang tanggungjawab untuk memajukan dan membangunkan tanah jajahannya.

Apa saja yang dilakukan di Malaya adalah untuk kepentingan ekonomi Empayar British. Umpamanya Sekolah Teknikal itu ditubuhkan untuk melahirkan juruteknik-juruteknik bagi memenuhi pelbagai keperluan ekonomi termasuk dalam bidang perlombongan bijih timah yang merupakan teras pendapatan empayar daripada tanah jajahan Malaya.

Sementara Sekolah Pertanian juga antara lain bertujuan bagi menghasilkan pekerja-pekerja mahir dalam bidang perladangan getah, juga merupakan teras bagi ekonomi kolonial British.

Malah Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles di Singapura sebahagian daripada institusi-institusi pendidikan kolonial untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi dan politik empayar.

Sebelum adanya Universiti Malaya, Kolej Raffles adalah “universiti” bagi Malaya. Bagi orang Melayu, SITC adalah “universiti” atau pusat pengajian tertinggi yang boleh mereka capai.

Bukan amalan letak nama kota

Amalan serupa juga dilakukan oleh pentadbir kolonial Belanda ke atas Indonesia, ketika itu bernama Hindia Timur. Mereka menubuhkan Institut Pertanian Bogor (ITB) pada tahun 1879 dan Institut Teknologi Bandung (ITB) pada tahun 1920.

Walaupun kini kedua-duanya sudah menjadi antara universiti terulung di Indonesia, mereka tetap mengekalkan nama asal yang merangkumi nama tempat di mana kampus mereka berada iaitu di kota Bandung dan Bogor.

Tiga kolej yang asalnya ditubuhkan oleh pentadbir kolonial British di Malaya kini juga sudah menjadi universiti.

SITC menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Pertanian Malaya kini adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Teknikal Kuala Lumpur menjadi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di Malaysia, nama-nama institusi pengajian tinggi sering diubah dan bukan amalannya untuk meletakkan nama kota di mana kampus utamanya berada pada nama rasmi universiti.

Kalau hendak dikirakan MCKK yang sudah lama ditubuhkan boleh menjadi universiti pertama bagi Malaya. Dengan kampusnya yang indah, ia boleh menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar universiti seperti Oxford.

Tetapi perkara itu tidak menjadi begitu. MCKK kekal menjadi sekolah menengah berasrama penuh perdana hingga ke hari ini.

Sebuah lagi bandar di Perak yang berpotensi menjadi bandar universiti ialah Tanjong Malim kerana di situlah ditempatkan SITC. Kuala Kangsar dan Tanjong Malim boleh menjadi Oxford dan Cambridge bagi Malaya. Tetapi itu tidak terjadi.

Guru sekolah Melayu

SITC menjadi universiti hanya pada tahun 1997. Ketika mana UTM (1972) dan UPM (1971) ditubuhkan, SITC kekal sebagai maktab perguruan.

Walaupun MCKK telah melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan kemudian menjadi para pemimpin negara baik dalam bidang politik mahupun perkhidmatan awam, tetapi sejarah mencatatkan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan lahir di SITC dan Sekolah Pertanian Serdang yang pelajarnya berasal dari kalangan rakyat dan bukannya bangsawan.

SITC menghasilkan guru-guru untuk sekolah Melayu di kampung-kampung sementara lulusan Sekolah Pertanian menghasilkan petugas-petugas yang berhubung dengan pekerja-pekerja ladang dan pekebun-pekebun kecil.

Gambarfail, KMM.

Segelintir mereka telah menubuhkan pertubuhan politik pertama Melayu iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mempunyai kesedaran kebangsaan dan memperjuangkan kemerdekaan. KMM bergerak di bawah tanah kerana ia diharamkan oleh British.

Pada tahun 1945, sebahagian bekas aktivis KMM menubuhkan parti Melayu pertama iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Pada tahun 1946, setelah diadakan Kongres Melayu, maka ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Dalam kongres itu juga dituntut supaya sebuah universiti kebangsaan ditubuhkan.

Ia hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan dan menjadi universiti utama negara. Agenda universiti negara merdeka bukan saja untuk ekonomi dan pendidikan tetapi adalah juga merupakan institusi bagi mengukuhkan identiti nasional.

Gambar fail, pimpinan PKMM bersama Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) Ahmad Boestamam (di depan paling kiri).

Pada tahun 1962, Universiti Malaya di Singapura dan Universiti Malaya di Kuala Lumpur berpisah. Universiti Malaya di Singapura menjadi Universiri Singapura.

Maka Universiti Malaya di Kuala Lumpur mengekalkan namanya dan menjadi universiti utama dan universiti nasional negara. Maka tuntutan bagi penubuhan sebuah universiti nasional yang menggunakan bahasa kebangsaan diteruskan. Ini kerana Universiti Malaya menggunakan bahasa Inggeris

Pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan dengan Singapura betada di dalamnya. Maknanya dari tahun 1963 hingga 1965, Malaysia ada tiga universiti iaitu Univetsiti Malaya, Universiti Singapura dan Universiti Nanyang yang ditubuhkan pada tahun 1955.

Universiti Nanyang adalah universiti persendirian yang ditubuhkan dan dibiayai oleh komuniti Cina Singapura. Ia menggunakan bahasa Mandarin. Nanyang bermaksud Laut Selatan, merujuk pada rantau Asia Tenggara.

Tak puas hati Tunku

Dengan penubuhan Malaysia, nama Malaya, seperti mana juga Tanah Melayu dimansuhkan. Segala apa yang bernama Malaya ditukar kepada Malaysia. Malah Malaya dipanggil sebagai Semenanjung Malaysia.

Maka dengan nama baru negara, sewajarnya Universiti Malaya bertukar menjadi Universiti Malaysia. Ini kerana ia metupakan universiti untuk empat wilayah negara iaitu Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah. Tetapi Universiti Malaya kekal dengan namanya.

Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, negara ini kembali memiliki hanya sebuah universiti iaitu Universiti Malaya.

Menjelang pilihan raya umum tahun 1969, masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan pentadbiran Tunku Abdul Rahman, antara lain adalah kerana soal ekonomi, bahasa dan pendidikan.

Tuntutan supaya ditubuhkan sebuah Universiti Kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan masih tidak dipenuhi. Penubuhan universiti itu sudah menjadi isu jati diri, maruah dan pembelaan pada rakyat.

Sebaliknya pada tahun 1969, University of Penang atau Universiti Pulau Pinang ditubuhkan dan dijadikan universiti kedua negara. Ia juga menggunakan bahasa Inggeris. Hanya pada tahun 1970, UKM ditubuhkan.

Universiti Pulau Pinang ditukar namanya kepada Universiti Sains Malaysia (USM). Ia merupakan universiti kerajaan persekutuan dan ketika itu dirasakan tidak ada universiti yang patut dinamakan mengikut negeri.

Maka ketika saya memasuki UPM pada tahun 1979, terdapat lima buah universiti di negara ini iaitu UM, UKM, USM, UPM dan UTM. Kalaulah universiti itu dinamakan mengikut tempat, maka apa yang ada ialah Universiti Kuala Lumpur, Universiti Bangi, Universiti Georgetown, Universiti Serdang dan Universiti Skudai.

Kini sudah terdapat banyak universiti kerajaan dan swasta. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) adalah di bawah pentadbiran Majlis Amanah Rakyat (Mara) selepas Institut Teknologi Mara menjadi universiti dan diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Kisah mengenai apa yang berlaku di sebalik penubuhan sesebuah universiti adalah panjang dan berlapis-lapis.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini