Belanjawan 2025 menyeluruh, tingkat keyakinan pelabur asing

Sains

PETALING JAYA: Belanjawan 2025 mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing melalui pelbagai inisiatif strategik dan proaktif termasuk memperkukuh infrastruktur, mempercepatkan transformasi digital dan mengurangkan birokrasi dalam proses perniagaan.

Melalui pelan ini, Malaysia berusaha untuk meningkatkan daya saingnya di peringkat global dan memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pelaburan dalam pendidikan, latihan kemahiran dan inovasi teknologi turut diberi keutamaan untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri masa depan.

Dr. Nik Maheran Nik Muhammad

“Fokus kepada prinsip kelestarian melalui projek mesra alam dan menyokong inisiatif alam sekitar seperti pelepasan karbon sifar juga menarik minat pelabur yang semakin menekankan aspek Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Di samping itu, kerajaan memperkenalkan insentif cukai dan faedah pelaburan yang kompetitif untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

“Keseluruhan inisiatif ini diyakini mampu memperkuat keyakinan pelabur asing, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, dan membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Nik Maheran, antara dasar yang berpotensi adalah insentif cukai khusus bagi sektor teknologi tinggi.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh menawarkan pengecualian cukai jangka panjang atau potongan cukai yang lebih besar kepada syarikat yang melabur dalam teknologi canggih, seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi hijau.

“Dasar pelaburan hijau juga boleh diperkenalkan untuk menarik pelabur yang fokus kepada aspek kelestarian.Kerajaan juga boleh menawarkan insentif kepada syarikat yang melabur dalam tenaga boleh diperbaharui atau yang mengamalkan prinsip ESG.

“Oleh itu, pelabur semakin berminat kepada aspek kelestarian dan Malaysia boleh mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan pelaburan yang menyokong pembangunan lestari, mempercepatkan kelulusan lesen dan pengurangan birokrasi bagi syarikat yang memenuhi kriteria teknologi tinggi. Proses yang cekap dan pantas akan menarik lebih banyak pelabur untuk memulakan operasi dengan segera di Malaysia, menjadikan negara kita lebih kompetitif berbanding destinasi pelaburan lain di rantau ini,” katanya.

Selain itu, program pemindahan teknologi dan latihan kemahiran sebagai insentif bagi pelabur asing yang ingin mendirikan pusat R&D (penyelidikan dan pembangunan) di Malaysia.

“Melalui program ini, syarikat akan diwajibkan untuk melatih pekerja tempatan dalam kemahiran teknologi tinggi, sekaligus meningkatkan kapasiti tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, insentif cukai yang progresif untuk menyokong dan membangunkan sektor bersasar dan berpotensi tinggi untuk menarik minat pelabur dalam jangka masa panjang.

Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee

“Ini melibatkan jaringan rakan pelabur, rakan industri dan organisasi kerajaan untuk pemantapan ekonomi digital melibatkan infrastruktur, projek mega melibatkn digitalisasi sejajar dengan hala tuju semasa untuk bersaing dengan pasaran global, jaringan 5G dan projek bandar pintar,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia juga menawarkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui skim latihan dan tumpuan kepada sistem pendidikan seperti mana yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

“Oleh itu, ini akan dapat memenuhi keperluan untuk dalam industri dalam industri yang memerlukan kepakaran khusus,” katanya. – UTUSAN