Tiga petinju negara berguru di Thailand

Sukan

PETALING JAYA: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) bakal menghantar tiga peninju negara untuk berlatih bersama kuasa besar ASEAN, Thailand dalam usaha mereka mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan SEA 2025.

Presidennya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata pemilihan tiga atlet itu dibuat berdasarkan keputusan yang dilakar dalam Kejohanan Tinju Konfederasi Asia (ASBC) yang sedang berlangsung ketika ini di Chiang Mai, Thailand.

Katanya lagi, selain Thailand mereka turut memilih Kazakhstan sebagai lokasi untuk menjalani latihan pusat selama enam bulan yang dilakukan secara berfasa bermula April 2025 sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026.

Ketika ini, petinju negara yang berpotensi untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa adalah Muhammad Rasdenal Haikal Mohd Fadzli yang beraksi dalam kategori 48 kilogram (kg), Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin (51kg), Muhammad Ridzuan Mohd Johari (60kg) dan Muhammad Ariff Aiman Mohd Farid (67kg).

“Kita dah putuskan untuk berlatih di luar negara di mana kita akan lakukan sebanyak tiga kali. Jadi, mungkin dua bulan di Thailand, dua bulan di Kazakhstan dan dua bulan lagi menuju Sukan SEA 2025.

“Kita memang ada menjalinkan hubungan kerjasama dengan Persatuan Tinju Thailand (TBA) dan mendapat sokongan penuh daripada pasukan kebangsaan tinju Thailand jadi kami akan berlatih bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Dalam pada itu, Iruan turut memaklumkan satu pingat emas yang disasarkan berada dalam kategori 48kg dan 51kg.

“Kita akan masuk enam kategori daripada 12 yang dipertandingkan dan peluang cerah berada dalam kategori 48kg dan 51kg,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memperolehi pingat emas di Sukan SEA pada 2017 ketika negara menjadi tuan rumah menerusi Muhammad Fuad Redzuan dalam kategori light flyweight.- UTUSAN