SHAH ALAM – Menyedari peningkatan kadar pesakit diabetes yang semakin ketara setiap tahun sehingga meletakkan Malaysia dalam senarai negara utama di rantau Asia Tenggara mencatatkan kelaziman diabetes tertinggi, menyebabkan satu tindakan drastik perlu dilakukan oleh semua pihak.
Salah satu usaha untuk membantu mengekang penyakit berbahaya itu terus menjadi kritikal sehingga melibatkan golongan muda dan remaja, D’Jue Wellness Centre (D’Jue Wellness) telah mengambil pendekatan positif dengan menganjurkan satu program seminar MYDJ (Manage Your Diabetic With Dr Jue) di sebuah pusat konvensyen di sini baru-baru ini.
Pengasas syarikat, Dr. Siti Juariah Kusni berkata, ini adalah program keempat anjuran syarikat yang diasaskan pada tahun 2018 dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Program tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran serta pengetahuan meluas dalam aspek kesihatan berkaitan penyakit diabetes.
“Lebih 800 peserta hadir pada program sehari yang mana sebahagian daripada mereka memiliki pelbagai latar belakang tahap kesihatan dan ada juga peserta yang sihat tapi membawa ibu bapa masing-masing untuk mendapatkan maklumat lengkap tentang tips serta maklumat serta aktiviti berhubung menjalani hidupan yang lebih sihat.
“Peserta dikenakan bayaran pada harga semurah RM59 untuk pendaftaran awal sehingga RM105,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Menurut beliau, pihaknya mahu meneruskan komitmen untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya penyakit diabetes dan alternatif penjagaan kesihatan mengubah tabiat makan, pengambilan makanan yang tidak sihat dan pelbagai maklumat kesihatan lain kepada umum untuk siri jelajah syarikat ke seluruh negara.
Ini masih dalam perancangan tetapi apa yang di fokuskan selepas ini adalah untuk menganjurkan program berkaitan masalah obesiti dan juga diabetes yang memiliki hubung kait yang kukuh malah hampir separuh daripada rakyat di negara ini berdepan dengan masalah obesiti.
Selain itu, D’Jue Wellness melihat seminar berasaskan penjagaan kesihatan yang dianjurkan syarikat telah memberi peluang kepada syarikat untuk mempromosikan produk keluarannya.
“Kami menawarkan promosi jualan dan diskaun bagi membolehkan peserta membeli barangan pada harga menarik dan melalui tips yang disampaikan pada seminar, ia juga akan menggalakkan mereka mengamalkan produk tersebut dengan konsisten,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, usahawan ini turut memperkenalkan beberapa produk keluaran syarikat untuk membantu pelanggannya mencari produk makanan alternatif seperti tepung, minuman dan minyak masak.
Antara produk keluaran syarikat adalah tepung barli, tepung almond, tepung kelapa, psylium husk, Lat.to (pengganti gula yang dihasilkan daripada monk fruit & erythritol), minyak kelapa dara organik berjenama OOCO dan minyak kelapa MCT Boolet. -KOSMO! ONLINE