Latif mahu rampas kembali emas di LA 2028

Sukan

KANGAR: Kegagalan mempertahankan pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dijadikan motivasi buat Datuk Abdul Latif Romly untuk menebus kekecewaan tersebut pada
Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

Biarpun bakal menjengah usia 31 tahun ketika LA 2028 berlangsung, Abdul Latif yakin dengan latihan berterusan, beliau mampu kembali bangkit merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) itu.

Anak jati Kampung Paya Jati, Bukit Keteri, Perlis itu, memenangi dua pingat emas berturut-turut pada edisi Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan hampir mencipta sejarah melakar hatrik di Paris namun terpaksa berpuas hati meraih perak.

Pada temasya terbesar dunia itu, Atlet Bebas Paralimpik (NPA), Matvei Iakushev meleburkan hasrat Abdul Latif selepas melakukan catatan 7.51 meter (m) untuk merangkul emas.

Biarpun tidak dapat membawa pulang emas pada edisi berkenaan, namun rekod dunia 7.64 meter yang dilakukan Abdul Latif ketika muncul juara di Sukan Para Asia Jakarta-Palembang 2018 masih kekal menjadi rekod dunia.

Abdul Latif berkata, dia menyimpan harapan untuk kembali membawa pulang pingat emas pada edisi Paralimpik Los Angeles 2028 sekali gus menebus kekecewaan gagal mempertahan pingat tersebut di Paris September lalu.

Atlet berusia 27 tahun itu juga mengakui cukup kecewa tidak berjaya membawa pulang pingat emas namun ia akan dijadikan motivasi untuk beliau bangkit di Los Angeles.

“Tiga hari sebelum aksi (Paralimpik Paris) baru-baru ini, saya ada mengalami kecederaan tulang rusuk dan ia agak sakit sehingga mengganggu rentak lompatan tersebut.

“Bagaimanapun pada masa itu, saya tetap melawan kesakitan tersebut dan terus berjuang melakukan aksi terbaik untuk membawa pulang pingat perak. Motivasi saya untuk kita tebus balik di LA (Los Angeles) dan buat lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis insentif kemenangan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Sarawak serta Paralimpik Paris 2024 di sini, semalam.

Abdul Latif yang membawa pulang pingat perak dalam edisi Paris 2024 itu, menerima insentif bernilai RM80,000 oleh kerajaan negeri kerana mengharumkan nama Perlis di peringkat dunia.

Insentif kepada Abdul Latif dan atlet-atlet lain dari negeri ini yang mempamerkan aksi cemerlang dalam temasya Sukma dan Para Sukma Sarawak yang bernilai keseluruhan sebanyak RM497,300 itu disampaikan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, beliau akan terlebih dahulu menfokuskan pada Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia tahun depan serta Sukan Para Asia selepas itu.

“Fokus saya untuk mempertahankan emas kejohanan dunia itu dan akan melihat kepada perkembangan persembahan dan jika masih berada dalam prestasi terbaik, baru akan menyasarkan Sukan Paralimpik LA.

“Daripada aspek kecederaan, saya juga sudah pulih 95 peratus dan kembali berlatih seperti biasa. Selalunya, setiap kali kejohanan, saya sering mendapat kecederaan baru,” katanya.-UTUSAN