AGM mungkin punca SPRM siasat BAM

Sukan

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam tidak menolak kemungkinan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang semakin hampir menjadi punca badan induk itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Subramaniam berkata, beliau tidak terkejut apabila ibu pejabat BAM dikunjungi beberapa pegawai SPRM dan pihaknya memberikan kerjasama penuh jika ada siasatan yang perlu dijalankan.

“Saya tidak menolak kebarangkalian mesyuarat agung yang semakin hampir menjadi punca kepada insiden ini berlaku, apa sahaja boleh terjadi, tiada yang apa-apa yang mengejutkan pun.

“Perkara seperti ini akan berlaku di atas pelbagai sebab, jadi, saya sendiri tidak tahu alasan sebenar laporan itu dibuat, kita perlu tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kerjasama Antara BAM dan Yonex yang disambung sehingga ke tahun 2028 di sini, semalam.

Minggu lalu, SPRM telah berkunjung ke ibu pejabat BAM di Bukit Kiara bagi mendapatkan maklumat tertentu dan badan induk sukan badminton negara itu memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat berkenaan.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama BAM disiasat SPRM sejak badan induk itu ditubuhkan.

Menurut Subramaniam, pihaknya telahpun mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan SPRM tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa terlibat bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya tidak akan mengulas lanjut, itu sahaja yang boleh saya cakapkan mengenai siasatan SPRM ini, kita akan menanti keputusannya nanti, tiada apa yang boleh saya komen lagi,” ujarnya yang turut mengesahkan mesyuarat agung BAM dijangka diadakan sekitar April tahun depan.

Ketika ditanya mengenai individu yang membuat aduan berkenaan, beliau memberitahu, pihaknya tidak tahu apa-apa tentang individu yang membuat laporan dan memberi laluan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Mengulas pula tentang kerjasama antara BAM dan Yonex, beliau menjelaskan, kontrak sebelum ini hanya berakhir pada 2026, tetapi, bagi membolehkan persiapan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 berjalan lancar, maka, kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan sehingga 2028.