Hamidin tidak pertahan jawatan Presiden FAM

Sukan

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin bersedia membuka ‘jalan’ kepada pemimpin lain untuk menerajui badan induk sukan No. 1 negara itu apabila enggan pertahankan jawatan kongres pemilihan tahun depan.

Tegasnya, keputusan berkenaan juga tidak ada kaitan dengan desakan peminat-peminat bola sepak tempatan, sebaliknya beliau mahu memberi ruang kepada individu lain bagi membawa FAM ke mercu kejayaan pada masa akan datang.

Hamidin turut menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak pertahankan ‘kerusi panas’ itu sudah lama dipendam sebelum pengesahan rasmi dibuat selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, semalam.

“Sebenarnya saya tidak mahu jawab secara berlebihan, tapi lepas berbincang dengan keluarga, saya rasa lebih baik saya tidak pertahankan kedudukan pada kongres akan datang.

“Tiada apa yang pelik dan adalah normal kerana pemimpin datang dan pergi. Saya percaya ada individu yang boleh bawa FAM lebih jauh lagi.

“Apa yang penting, keputusan ini (tiada kaitan dengan desakan penyokong) kerana mereka ada hak untuk kritik. Namun, saya dah fikirkan bukan sekarang dan saya juga tidak mahu umumkan secara last minute,” katanya.

Spekulasi Hamidin tidak bertanding pada kongres pemilihan FAM telah bertiup kencang sejak bulan lalu selepas terpalit dengan pelbagai isu kontroversi sepanjang tahun ini.

Antaranya adalah isu ‘surat layang’ yang diterima badan induk itu pada awal tahun dengan pelbagai dakwaan dilemparkan oleh individu tidak dikenali.

Selain itu, Hamidin turut menerima tamparan hebat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Hamidin dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC sebelum ini.

Begitupun, peminat bola sepak tidak boleh melupakan jasa terbesar beliau yang memainkan peranan penting dalam memperkuatkan skuad Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-132 dunia selain layak ke pentas Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun secara merit.-UTUSAN