KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mempersoalkan ketidakselarasan tindakan undang-undang terhadap pemimpin politik yang dilihat bersifat berat sebelah.
Ketua Wira Warisan, Terence Au berkata, ketika ini dapat dilihat sesetengah pemimpin ditahan dan direman dengan segera apabila terkait isu rasuah, namun tindakan sama tidak dilaksanakan kepada sesetengah pemimpin politik.
Katanya, situasi ini menimbulkan persepsi bahawa undang-undang yang tegas hanya kepada pihak tertentu kerana rakyat ingin melihat bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun latar belakang parti politik.
Beliau berkata, pendedahan terkini rakaman video yang disiarkan pada Selasa mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan dan menjatuhkan maruah keseluruhan rakyat Sabah.
“Justeru, Wira Warisan menggesa semua ADUN yang terlibat dalam skandal rasuah itu mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.
“Ketua Menteri juga wajar untuk mengambil tindakan sama. Tindakan sebegitu penting untuk menunjukkan komitmen pemimpin politik terhadap integriti dan tanggungjawab kepada rakyat.
“Pemimpin politik harus berani membuktikan mereka tidak menyembunyikan sesuatu disebalik kedudukan mereka sekali gus memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh tanpa perlu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau yakin bahawa rakyat Sabah sangat berharap agar sebarang isu berkaitan rasuah dapat ditangani dengan telus dan tegas. Ketelusan amat penting dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan integriti negara terus terpelihara. – UTUSAN