Usaha tidak pernah khianati hasil – Norhasmiza

Kesihatan

PETALING JAYA: “Mula-mula buat siaran langsung, tiada siapa pun tonton.”

Demikian luahan pengasas Manjaberries, Norhasmiza Md. Ghaus yang berkongsi pengalamannya ketika mula-mula melancarkan produk kecantikan jenamanya.

Namun jelas Norhasmiza, keadaan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya dan kini dia boleh berbangga dengan kejayaan jenama Manjaberries yang semakin mendapat perhatian.

“Kalau cerita memang sedih. Bayangkan, tiga bulan pertama saya bersiaran langsung di TikTok, tiada siapa pun tonton. Kalau ada pun boleh kira dengan jari.

“Dari pagi sampai ke malam, saya tetap bersiaran langsung. Berhenti sekejap untuk makan dan solat. Ketika itu saya pujuk hati, tidak mengapa. Perlahan-lahan.

“Tetapi Alhamdulillah, sedikit demi sedikit usaha itu membuahkan hasil. Semakin lama, semakin ramai yang tonton dan mula percaya dengan produk saya,” katanya.

Tambah Norhasmiza, produknya mula mendapat perhatian kerana dia menghasilkan produk sendiri yang berasaskan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

“Semua bermula dengan masalah kesihatan kulit yang dihadapi oleh ibu saya. Bila saya hasilkan, saya cakap dengan diri sendiri, kenapa tidak bantu orang lain yang mungkin mempunyai masalah sama.

“Produk saya tidak mengandungi sebarang gula putih, gula tambahan, sebarang pewarna dan bahan pengawet.

“Setakat ini sudah lebih 30,000 produk ManjaBerries. Saya percaya usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.

Buat masa ini, syarikatnya, HA Skin & Beauty mengeluarkan tiga produk ManjaBerries, ManjaBerries Advance kapsul, sabun dan Tinted Serum Sunscreen.