PETALING JAYA: NationGate Holdings Berhad (NationGate) memperluaskan penyediaan penyelesaian pusat data dengan pelancaran rasmi pelayan kecerdasan buatan (Al) terbaharunya dan menjadi yang pertama mengeluarkan pelayan bertaraf dunia sedemikian yang dihasilkan di Malaysia.
Pelayan AI itu dikuasakan oleh penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) terbaik dalam kelasnya di barisan hadapan dalam industri.
Pengarah Urusan NationGate, Datuk Ooi Eng Leong berkata, usaha niaga itu akan membuka pintu kepada NationGate untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya di Malaysia serta di seluruh rantau ini.
“Ini kerana ia berada di barisan hadapan perkhidmatan berkaitan Al, dan akan manfaat dari pengembangan peratusan dua digit setahun dalam pelaburan pusat data dan pasaran pembinaan di Asean dan global.
“Di Malaysia sahaja, kajian telah menunjukkan bahawa kapasiti untuk pusat data dijangka meningkat lebih daripada dua kali ganda setiap dua tahun untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.
“Ini sekali gus menjadikannya penting bagi negara menyetempatkan sumber teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk sepenuhnya memanfaatkan pertumbuhan positif industri dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, NationGate mampu menyediakan perkhidmatan sehenti untuk pelayan Al dan menukar penyelesaian sambil menyokong agenda penyetempatan.
“Lonjakan strategik NationGate ke dalam Al dan pusat data menekankan komitmen ke arah memajukan teknologi, sambil memupuk inovasi tempatan dan pertumbuhan.
“Sebagai pengeluar pertama di Malaysia bagi pelayan terkemuka industri yang dicari oleh mereka yang mengejar pendigitalan dan kecekapan yang lebih baik, kami berharap ke arah menyediakan kesan limpahan pembangunan bahagian rantaian nilai pusat data di negara ini.
“Ini termasuk pembuatan dan pembangunan bakat, sebagai sebahagian daripada matlamat Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030),” katanya. – UTUSAN