SEREMBAN: Diuji dengan masalah kesihatan serius dihidapinya termasuk ada ketikanya dia tidak mampu bergerak merupakan cabaran yang ditempuh Nurul Iffah Alias, 23, untuk bergelar sebagai graduan.
Menurut graduan Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, dia disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE), iaitu sejenis penyakit autoimun yang menyerang darah dan sendi sejak Ogos 2023.
“Sejak Ogos tahun lalu, saya kerap mengalami demam berulang malah ada masa saya langsung tidak mampu bergerak dan hanya terbaring.
“Pada November 2023, keadaan saya bertambah buruk sehingga perlu dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bagaimanapun saya tetap bertekad untuk meneruskan pengajian, saya tidak mahu menangguhkan semester kerana mahu tamat pengajian bersama rakan-rakan,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-22 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini.
Nurul Iffah menambah, dia bersyukur apabila menerima bantuan rakan-rakan sekuliah Ketika dia mendapatkan rawatan di hospital
“Rakan-rakan banyak membantu saya untuk menyiapkan tugasan dan memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Malah selepas keluar hospital, mereka turut meluangkan masa untuk mengajar saya sehingga saya benar-benar memahami setiap topik pembelajaran. Tanpa mereka, saya mungkin tidak akan berjaya,” katanya laho.
Dia dalam pada itu memberitahu, keadaan kesihatannya semakin stabil namun perlu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan.-UTUSAN.